Rangka sistem menyeluruh, jangan gopoh gantikan UPSR, kata persatuan

Jiao-ZongPETALING JAYA: Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) meminta kerajaan tidak terburu-buru menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS), sebaliknya perlu membuat perancangan rapi bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.

Setiausaha Agungnya, Tan Cheng Soon yang dipetik Sin Chew Daily memberi contoh Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang sepatutnya dimulakan tahun ini, bagaimanapun gagal dilaksanakan kerana mengalami terlalu banyak masalah teknikal.

Beliau berkata, cadangan itu berniat baik, tetapi kerajaan perlu merangka satu sistem menyeluruh bagi mengatasi masalah teknikal seperti pelajar menukar sekolah, rekod penilaian perlu diserahkan kepada sekolah baharu dan jika maklumat daripada sekolah lama tidak lengkap, guru di sekolah baharu sukar membuat penilaian.

Katanya, kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan semua organisasi pendidikan berkaitan dan menjelaskan butiran mengenai cara serta piawaian memberi markah yang membabitkan aspek subjektif, bagi mengelakkan wujud keadaan berat sebelah.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, cadangan menggantikan UPSR kepada PBS yang kini di peringkat akhir kajian, bertujuan memastikan psikomotor dan perkembangan murid tidak terjejas dengan tekanan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Katanya, cadangan itu sudah beberapa kali dibangkitkan, namun ia perlu diperhalusi secara terperinci dan kementeriannya giat mengumpul pandangan serta maklum balas semua pihak berkepentingan, termasuk guru dan ibu bapa sebelum ia dilaksanakan.

Sementara itu, Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia menyifatkan cadangan menggantikan UPSR kepada PBS dengan mengambil kira 50% peperiksaan dan akademik, terlalu tinggi.

Presidennya, Wong Shee Fatt yang dipetik Sin Chew Daily sebaliknya mencadangkan keputusan peperiksaan hanya perlu menyumbang 30 hingga 35% atau satu pertiga daripada keseluruhan penilaian itu dan selebihnya dinilai melalui akhlak, kokurikulum serta sukan seseorang murid itu.

“Pendidikan sebenarnya perlu menumpukan cara mendidik, akhlak kanak-kanak, penyertaan dan kepimpinan mereka dalam kokurikulum serta sukan. Inilah keputusan menyeluruh, bukannya menggunakan keputusan peperiksaan untuk mengukur prestasi murid.”

Katanya, kesatuan itu selama ini berharap kerajaan akan menghapuskan UPSR, kerana mengikut sistem peperiksaan itu, setiap ibu bapa, guru, guru besar dan pengarah amat mementingkan keputusan dan pelajar akan dimarahi jika mendapat keputusan tidak baik.

“Kami berharap ibu bapa tidak akan terlalu mementingkan peperiksaan, sekolah juga jangan terlalu mengutamakan pendidikan berdasarkan peperiksaan,” katanya sambil menambah peperiksaan mesti diadakan, tetapi ia bergantung kepada cara mengujinya.

Beliau berkata, menggunakan model Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan UPSR adalah cadangan baik, kerana ia masih mempunyai kertas peperiksaan seragam di seluruh negara serta merangkumi penilaian dalam sekolah.

Mahdzir: Cadangan ganti UPSR di peringkat akhir, elak murid tertekan