Rusia serah bukti MH17 tidak ditembak pemberontak kepada Belanda

MH17MOSCOW: Rusia menyerahkan data radar kawasan pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas di timur Ukraine yang dikuasai pemberontak, pada 2014, kepada Belanda.

“Kami memberi data radar belum diproses yang kami temui sebulan lalu kepada pihak Belanda,” kata jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova kepada AFP.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Kehakiman Belanda, Ard van der Steur memberitahu Parlimen pada Rabu lalu yang pendakwa raya Rusia sudah menyerahkan “sebungkus maklumat” kepada Kedutaan Belanda di Moscow.

Katanya, beliau tidak boleh memberi butirannya kerana isi kandungan maklumat itu perlu dinilai terlebih dahulu jika ia berguna untuk siasatan.

Kementerian Pertahanan Rusia pada hujung bulan lalu mengeluarkan imej radar baru yang didakwanya tidak menunjukkan sebarang misil dilancarkan dari wilayah dikuasai pemberontak pada hari MH17 terbang di kawasan terbabit, pada Julai 2014, bertentangan dengan beberapa kenyataan atau maklumat terdahulu.

Kementerian itu mengeluarkan imej terbabit kepada wartawan 2 hari sebelum pasukan penyiasat jenayah antarabangsa yang diketuai Belanda mengumumkan penemuan awal mereka terhadap nahas MH17, pada 28 September lalu, yang mendapati misil diangkut dari Rusia.

Pasukan penyiasat diketuai Belanda itu menghabiskan masa 2 tahun untuk menyiasat nahas yang meragut 298 penumpang dan kru dalam Boeing 777 itu berkata, ketika itu, Rusia tidak menyerahkan data radar baharu itu kepada mereka.

Ukraine dan negara Barat bertegas pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat MH17 menggunakan sistem misil BUK buatan Rusia yang mungkin dibekalkan Moscow.

Susulan itu, Kesatuan Eropah melaksanakan sekatan lebih ketat ke atas Rusia yang didakwa adalah dalang di sebalik pemberontakan berkenaan.

Tindakan punitif itu masih dikekalkan ketika pertempuran di timur Ukraine berterusan.

Tetapi, Rusia dan pihak pemberontak tetap menafikan sebarang pembabitan dalam menjatuhkan MH17, sebaliknya mereka menuding jari ke arah tentera kerajaan Ukraine.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/28/mh17-ditembak-jatuh-pemberontak-pro-rusia-kata-penyiasat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/28/pm-janji-hukuman-setimpal-untuk-penembak-mh17/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/01/siasatan-mh17-rusia-panggil-duta-belanda/