Shisha pun haram di Kelantan apatah lagi pelacur, kata exco

Abdul-Fattah-MahmoodPETALING JAYA: Exco kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar Kelantan berkata kerajaan negeri mengharamkan semua aktiviti maksiat termasuk judi dan pelacuran, malah menghisap shisha juga satu kesalahan.

Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata pihak berkuasa sering membuat operasi membanteras gejala itu dan setakat ini ia sudah lama tiada di negeri itu.

Beliau berkata mana-mana pihak tidak seharusnya membuat dakwaan wujudnya aktiviti pelacuran di negeri itu jika tidak mempunyai bukti yang kukuh.

“Jika ada keraguan dan bukti kukuh berhubung aktiviti pelacuran sila buat laporan kepada kami dan tindakan segera akan diambil.

“Kalau mereka buat dakwaan terbuka, ini tidak sahih. Shisha kita haramkan di Kelantan dan kita giat buat operasi ambil tindakan, apatah lagi kalau ada maklumat mengenai aktiviti pelacuran dan sebagainya,” katanya kepada FMT.

Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Rabu “panas” apabila Adun PKR Roslan Puteh berkongsi pengalamannya didekati pelacur di sekitar Jalan Hamzah, Kota Bharu.

Susulan itu, Umno Kelantan menggesa kerajaan pimpinan PAS supaya menggiatkan pentarbiahan rakyat Kelantan bagi membendung aktiviti pelacuran di negeri yang mendapat jolokan nama Serambi Mekah itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Hanafi Mamat akui aktiviti pelacuran di negeri itu sukar dibuktikan namun orang ramai pernah melaporkan kewujudannya.

Fattah yang juga Adun Bukit Panau berkata setakat ini tidak ada rekod penangkapan daripada aktiviti pelacuran.

“Setakat ini tidak ada rekod penangkapan dibuat dan perkara ini sudah lama tidak ada. Kita akan pastikan Kota Bharu sebagai bandar raya Islam bebas daripada perkara sedemikian,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Adun PKR, Fatah berkata ia hanya luahan kebimbangan wakil rakyat berkenaan kerana apa yang berlaku melibatkan dirinya malah tidak disertakan bukti kukuh.

“Sebab itu kita tanya dia (Adun PKR) dalam Dewan dia pasti ke itu pelacur, dia menjawab tidak pasti cuma dia mengatakan orang itu datang dan syak dia pelacur,” katanya.

Tak cukup tarbiah, peluang pekerjaan punca pelacuran di Kelantan

Adun PKR dakwa didatangi pelacur di Kota Bharu