Usah panik, beli minyak masak ikut keperluan, nasihat Fomca

yusof

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan orang ramai tidak membeli minyak masak paket plastik 1kg secara berlebihan, bagi mengelakkan bekalan tidak mencukupi kerana kerajaan sudah berjanji akan terus memberi subsidi untuk kategori itu.

Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, bekalan minyak masak akan mencukupi jika orang ramai tidak panik dan membeli produk itu mengikut keperluan sendiri.

“Walaupun daripada segi undang-undang tidak salah, tetapi pembelian berlebihan oleh pengguna menyebabkan (bekalan minyak masak paket plastik 1kg tidak ada stok dan orang lain tidak dapat beli, kerana pengguna yang beli berlebihan itu sudah ambil stok orang lain.

“Apabila pengguna beli lebih akan menyebabkan bekalan minyak berkurangan. Ini menyebabkan terdapat sesetengah peruncit mengehadkan penjualan mereka bagi membolehkan stok minyak masak sentiasa ada,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor yang mendapati sesetengah peruncit terpaksa mengehadkan jualan minyak masak paket 1kg bagi mengawal kekurangan bekalan, terutama menjelang perayaan Deepavali, esok.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Abdul Rosik Yakub dilaporkan berkata, perkara ini berlaku disebabkan ada pengguna melakukan pembelian panik dan melebihi keperluan.

Penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang menyaksikan harga minyak masak paket 1kg kekal RM2.50, tetapi minyak masak kategori lain akan dijual mengikut harga pasaran mulai Selasa depan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kerajaan mengambil kira beberapa aspek sebelum menyemak semula harga untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi, termasuk kenaikan harga minyak sawit mentah dalam pasaran semasa.

Sementara itu, Yusof menasihatkan peniaga tidak menyorok stok minyak masak sehingga menyebabkan pengguna tidak dapat membelinya, sebaliknya mereka boleh mengehadkan pembelian minyak masak.

“Hadkan pengguna seperti seorang beli 1 atau 2 paket minyak masak. Menjadi satu kesalahan sekiranya peruncit menyimpan stok, jika aduan dibuat pengguna.

“Pengguna tidak perlu risau kerana kerajaan sendiri mempunyai kuota barang bersubsidi yang dijual kepada pengguna. Pengguna tidak perlu panik, beli macam biasa,” katanya.

PAUTAN:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/28/pembeli-panik-peruncit-terpaksa-hadkan-beli-minyak-di-selangor/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/27/persatuan-pengguna-gesa-kerajaan-kawal-jualan-minyak-masak-1kg/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/26/hamzah-subsidi-hanya-untuk-minyak-masak-1kg/