Wakil institusi agama jumpa PM, serah penghargaan

najib

PUTRAJAYA: Tujuh wakil institusi agama Islam hari ini menyatakan sokongan dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas usaha berterusan kerajaan dalam memartabatkan institusi agama di negara ini.

Wakil Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Pondok, Tahfiz, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal dan siak seluruh negara menyerahkan memorandum kepada Najib di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra di sini.

Najib menerima memorandum itu daripada Iman Masjid Jamiur Rahmah, Kampung Limau Manis, Sepang, Noor Azli Abdul Hamid.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.

Memorandum yang ditandatangani 7 wakil institusi agama itu mengakui kerajaan di bawah pentadbiran Najib terus komited dalam memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan.

Ia juga menyatakan dasar kerajaan berpandukan nilai Islam seperti Indeks Syariah Malaysia sehingga memperkasakan institusi agama bermula di peringkat bawah hingga ke peringkat atasan membuktikan usaha murni dan ikhlas kerajaan.

Memorandum itu juga menyatakan pembentangan Bajet 2017 membuktikan usaha kerajaan dalam membela dan mendukung institusi agama melalui pertambahan bajet sedia ada dan peruntukan bajet baharu bagi SABK, pondok, tahfiz, Guru Kafa, imam, bilal dan siak di seluruh negara.

“Semua pihak perlu mengiktiraf, menyatakan sokongan dan penghargaan atas segala usaha yang dilakukan kerajaan selama ini dalam memartabatkan institusi agama di negara ini.

“Usaha yang cuba dilakukan oleh segelintir pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mewujudkan persepsi negatif dan mempertikaikan usaha kerajaan memperuntukkan bajet kepada institusi agama Islam perlulah ditentang dengan sekeras-kerasnya,” katanya.

Sementara itu, Noor Azli berkata penyerahan memorandum itu bertujuan untuk melahirkan penghargaan dan sokongan terhadap kerajaan yang komited menyediakan infrastruktur dan peruntukan, khususnya dalam Bajet 2017 bagi melaksanakan program berteraskan nilai murni.

“Perdana menteri juga menyatakan (kepada kami) usaha kerajaan adalah berterusan dalam memartabatkan syiar Islam di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kuala Lumpur (PINTA) Mohd Zahid Mahmood berkata peruntukan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara membuktikan kerajaan komited untuk memartabatkan institusi pengajian tahfiz di negara ini.

“Menjadi harapan saya, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara menjadi wadah untuk membantu sekolah tahfiz di seluruh negara, termasuk sekolah tahfiz swasta, persendirian, rakyat atau kerajaan. Terima kasih banyak atas peruntukan yang besar ini untuk institusi tahfiz,” katanya.

Najib yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Oktober juga mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan elaun kira-kira 15,000 imam di bawah Jakim di seluruh negara daripada RM750 kepada RM850 sebulan.

Dalam Bajet 2017 juga, Najib mengumumkan pemberian RM500 akan secara sekali bayar kepada hampir 16,000 bilal dan siak di seluruh negara sebagai menghargai jasa mereka mengurus tadbir masjid.

Selain itu, kerajaan juga akan menaikkan elaun guru Kafa daripada RM800 kepada RM900 sebulan yang memanfaatkan hampir 33,000 guru.