3 emas atlet paralimpik lenyapkan segala sindiran

emas

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan atlet negara membawa pulang 3 pingat emas menerusi sukan paralimpik di temasya Olimpik Rio bulan lalu ialah individu bernama R. Jaganathan.

Ketua jurulatih paralimpik negara itu menjadi tunjang kejayaan 3 atlet, Mohammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly yang membawa pulang emas dari Rio de Janeiro, Brazil.

Bagi Jaganathan, hubungan dengan anak muridnya umpama seorang ayah.

Ketika ditemui FMT baru-baru ini semasa giat menjalankan sesi latihannya di Institut Sukan Negara di Bukit Jalil, Jaganathan memberitahu antara kunci utama kejayaan atlet paralimpik ialah kasih sayang.

Berkat kesabaran itulah, menurutnya, menghasilkan pingat emas buat negara.

Pandang serong

Bukan itu saja, kejayaan mereka turut membuka mata orang ramai yang selama ini seolah-olah memandang serong kebolehan atlet orang kurang upaya (OKU), kata Jaganathan.

“Tumpuan kita melatih mereka dengan penuh kasih sayang, dulu kita pergi mana-mana orang sindir kita, saya pergi mana-mana pun orang sindir,” katanya, yang menjadi jurulatih OKU sejak 2001.

“Saya bertekad untuk buktikan kita boleh dan pada 2014 kita mendapat 10 pingat di Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan , disusuli kejayaan membawa pulang 2 emas dan 3 gangsa di kejohanan dunia tetapi waktu itu orang tidak pandang tinggi.

“Tetapi pada 2016, lepas kita balik dari Brazil dengan membawa 3 emas dalam sukan paralimpik, sambutan sangat luar biasa, orang mula hormat kepada atlet paralimpik selepas 16 tahun,” kata Jaganathan.

Malah semasa di Rio, katanya peserta negara luar tidak pandang atlet Malaysia.

“Tetapi selepas kita dapat 3 emas dan cipta rekod baharu, barulah semua negara memberi perhatian kepada kita,” katanya.

Beliau mengharapkan sokongan diteruskan, dan berkata atlet OKU hanya mahu hidup seperti orang normal.

Antara atlet normal dan OKU

Jaganathan mengakui tugas melatih atlet OKU sangat mencabar berbanding atlet normal.

Jurulatih memerlukan kesabaran yang tinggi di samping menggunakan pendekatan psikologi dalam memberi latihan.

Salah satu cabaran melatih atlet OKU ialah ada sesetengah mereka cepat lupa apa yang diajar.

“Contoh Puzi (Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi), sebelum memulakan larian kadang-kadang kaki kiri dan kanan masih tertukar.

“Kita kena banyak bersabar,” kata Jaganathan yang pernah lumpuh badannya selama 3 bulan selepas terlibat dalam satu kemalangan tahun lalu.

Mengenai peristiwa itu, Jaganathan menganggap ia tempoh gelap dalam kehidupannya.

Malah beliau pernah terlintas untuk membunuh diri selepas mengetahui dirinya lumpuh, tetapi aktivitinya membantu atlet OKU memberikan kekuatan kepada dirinya untuk terus bangkit.

Jauh daripada keluarga

Jaganathan memperuntukkan 85% masanya kepada sukan, dan selebihnya di rumah.

“Matlamat saya ingin membentuk atlet OKU berjaya, saya bersama atlet dari pagi sampai malam.

“Saya lakukan ini untuk negara kerana saya sayangkan negara dan saya ingin mengubah pandangan masyarakat tentang kebolehan OKU,” katanya.

PAUTAN: 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/17/3-emas-1-gangsa-pencapaian-terbaik-malaysia-di-sukan-paralimpik/