Warisan Sabah gesa Musa Aman tunai janji lama

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman merealisasi semua janji yang pernah ditabur sebelum menjanjikan satu lagi pelan baru, kata ahli politik Parti Warisan Sabah (Warisan Sabah) Junz Wong.

Adun Likas hari ini mengkritik Musa kerana tidak mempunyai garis panduan terperinci sebagaimana dijanjikan pada 2010 untuk mempercepatkan proses kelulusan bagi pelan pembangunan.

“Di mana garis panduan terperinci itu yang diumukan Musa pada 2010? Adakah proses kelulusan pelan pembangunan dipercepatkan dalam beberapa tahun lalu?” soal Wong dalam satu kenyataan hari ini.

Wong menyalahkan Musa kerana negeri mempunyai “bandar rojak”, kesesakan lalu lintas dan kelulusan pembangunan perlahan.

“Hormatilah kebijaksanaan orang awam. Jangan menipu rakyat lagi dengan ucapan kitar semula.

“Kita mahu melihat pelan tindakan yang konkrit, kukuh dan telus bagi jabatan perancangan dan pihak berkuasa untuk benar-benar menyelesaikan kerenah semasa dan mempercepatkan kelulusan pembangunan, bukan janji kosong,” kata Wong.

Ini susulan pelancaran Pelan Struktur Sabah 2033 pada Khamis, yang menurut Musa diluluskan Kabinet negeri pada Jun lepas dan dibentuk melalui dasar-dasar strategik bagi menentukan arah serta corak pembangunan fizikal negeri untuk 20 tahun akan datang.

“Pelan ini sangat penting bagi pembangunan jangka panjang negeri ini. Pada pandangan saya, ia menetapkan visi untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang mempunyai persekitaran bertaraf dunia untuk hidup, bekerja, belajar, dilawati dan tempat kondusif bagi pelaburan perniagaan yang akan mewujudkan peluang pekerjaan,” kata Musa semasa melancarkan pelan itu pada Persidangan Perancangan Negeri Sabah.

Wong turut menekankan yang Musa menjadi ketua menteri sejak 2003, dengan Pelan Struktur Sabah 2020 terdahulu yang juga diluluskan Jemaah Menteri pada 12 April 2006.

“Jadi siapa Musa perlu salahkan di atas wujudnya bandar-bandar ‘rojak’, kesesakan lalu lintas dan kelulusan pembangunan yang perlahan selain beliau dan penasihatnya?” soal Wong.