Gelandangan sedih sendirian sambut Deepavali

sedih

KUALA LUMPUR : Pesta Cahaya tahun ini tidak memberi kegembiraan kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan di sini apabila terpaksa menyambutnya seorang diri.

N. Kanagaraj, 59, berkata beliau sedih apabila tidak ada ahli keluarga melawatnya ditambah lagi sudah bercerai dengan isteri 2 tahun lalu.

“Tak ada yang melawat. Itu yang saya sedih. Saya telefon adik, dia beritahu berada di Langkawi. Tahun ini 5 ahli keluarga meninggal dunia, jadi saya tidak meraikan Deepavali tahun ini,” katanya ketika ditemui FMT pada majlis sambutan Deepavali hari ini.

Bagaimanapun, Kanagaraj berkata Pusat Transit Gelandangan itu memberi peluang kepadanya untuk merasai suasana Deepavali kerana kebanyakan gelandangan yang tinggal di situ tidak mempunyai keluarga.

“Kebanyakannya tak ada keluarga jadi kita rasa satu keluarga terutama pada musim perayaan ini. Ada orang datang, ada juga sediakan bantuan seperti makan jadi kita ada rasa suasana Deepavali, tidak terlalu sepi,” katanya.

Seorang lagi gelandangan Khairunnisa Maulad Abdul Manan, 35, pula berkata setiap kali musim perayaan beliau sedih kerana tidak pernah berjumpa ibu bapanya.

“Saya anak angkat, saya tak ada binti sebab saya tak pernah jumpa mak dan ayah kandung,” katanya.

Katanya, di Pusat Transit Gelandangan, dia dapat merayakan dan menyertai semua perayaan dianjurkan pelbagai pihak yang prihatin dengan nasib mereka.

“Saya sertai semua jenis perayaan, tidak kira sambutan untuk orang Cina atau India,” katanya.

Tan Kok Leong, 46, berkata beliau gembira menyambut Deepavali di situ ditambah dengan kehadiran kanak-kanak yatim piatu di kawasan itu.

“Saya gembira kerana ada kanak-kanak dan kawan dari luar. Ini pertama kali saya sambut (Deepavali) di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Onn Ja’afar (IOJ) Charles Mohan berkata 250 gelandangan di Kuala Lumpur dan 25 kanak-kanak daripada Yayasan Chow Kit menyertai program Jom Diwali yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Pusat Transit Gelandangan.