Hak semua kaum terpelihara, kata Zahid sempena Deepavali

zahid-hamidi_rakyat_malaysia_6001

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah model perpaduan yang menjamin hak masyarakat majmuk secara adil dan seimbang serta dijamin dalam Perlembagaan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, katanya kaum minoriti di negara ini tidak harus berasa terancam untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing serta tidak perlu khuatir akan kehilangan identiti mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, saya percaya perbezaan agama, bahasa dan warna kulit menjadikan kita masyarakat yang kaya dengan pelbagai budaya.

“Perbezaan ini juga menjadi kekuatan, bukan kelemahan dalam pembentukan bangsa Malaysia, ‘unity in diversity’ (perpaduan dalam kepelbagaian),” katanya dalam rakaman video perutusan sempena Deepavali 2016 yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini.

Sempena perayaan itu, Zahid mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mengeratkan persaudaraan dan hubungan antara kaum yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.

Beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak menjadikan medium media sosial sebagai sandaran yang boleh meleraikan tali perpaduan antara masyarakat.

“Akhir kata saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali 2016 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada mereka yang beragama Hindu,” katanya.