Jangan pinggir kawasan tidak ramai pengundi, kata penyelidik

Ng-Yeen-Seen_polis_cenbet_600

KUALA LUMPUR: Bajet 2017 kerajaan persekutuan adalah bajet pilihan raya yang memenuhi keperluan semua orang, kata ketua sebuah badan pemikir, Ng Yeen Seen.

“Daripada tua, minskin, penjawat awam hingga ke sektor wanita bahkan usahawan, ada sesuatu untuk semua orang. Secara peribadi, saya yakin ini adalah bajet pilihan raya,” kata Ng dalam satu forum yang dianjurkan Gerakan malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berasa “pemenang terbesar” dalam bajet itu adalah golongan berpendapatan rendah dan penjawat awam, yang beliau sifatkan sebagai “pengundi tradisional” Barisan Nasional.

Ng, yang juga ketua pegawai operasi Asli (Institut Strategi dan Kepimpinan Asia), juga menasihatkan kerajaan dan rakyat Malaysia sama-sama tidak mengabaikan pembangunan kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak boleh mempunyai cara berfikir yang berputus asa terhadap bandar-bandar kecil hanya kerana terdapat hanya 50 orang atau pengundi. Kerajaan perlu melabur dalam pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar, seperti membina hospital, sekolah, jalan raya dan jambatan.

“Rakyat Malaysia di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur tidak boleh mengatakan ‘ini bukan masalah saya’ kerana akhirnya ia akan menjadi beban semua orang. Ia akan menjejaskan negara secara keseluruhannya. ”

Seorang lagi penceramah, Abdul Aziz Abu Bakar, ketua Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, mengakui rakyat Malaysia tidak gemar membayar cukai seperti GST, tetapi beliau berkata tidak ada cara lain untuk menjana pendapatan kerajaan.

“Jumlah sumbangan cukai membentuk 82% pendapatan kerajaan. Mana-mana negara di dunia memerlukan cukai untuk menyumbang kepada pendapatannya, tidak ada cara lain,” katanya.

Firdaos Rosli daripada Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, bersetuju dengan Aziz, sambil menambah keutamaan kerajaan terletak pada “pencegahan huru-hara” di negara ini yang boleh disebabkan beberapa faktor luaran seperti keluarnya Britain daripada Kesatuan Eropah dan kelembapan ekonomi China.

“Semua yang berlaku di luar negara akan mempengaruhi kita seperti dasar luar dan pelaburan asing. Ia menjadi tugas kerajaan memastikan apa sahaja yang berlaku di luar negara, kita mempunyai ruang melakukan apa yang perlu dilakukan,” kata Firdaos.

Kerajaan persekutuan berharap kelulusan Parlimen untuk membelanjakan RM260.8 bilion tahun depan.

Antara langkah termasuk dalam bajet itu ialah peningkatan bantuan BR1M, pinjaman perumahan yang lebih baik untuk kakitangan awam, dan RM60 juta peruntukkan bagi kebajikan pemandu teksi.