Loji rawatan air Semenyih kembali pulih pagi ini

loji

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang ditutup akibat pencemaran bau kembali beroperasi pada pukul 3.15 pagi tadi.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) juga berkata bekalan air akan pulih secara berperingkat apabila air dalam kolam takungan mencapai paras optimum.

“Bekalan air sedang disalurkan ke kolam takungan di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling Jaya.

“Segala usaha juga sedang dilaksanakan untuk mempercepatkan pemulihan bekalan air ke kawasan yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengguna boleh mendapatkan status terkini dan butiran lanjut mengenai pemulihan bekalan air melalui aplikasi telefon pintar mySyabas dan www.syabas.com.my.

LRA Sungai Semenyih ditutup lebih 5 kali tahun ini akibat pencemaran dengan yang terbaharu berlaku pada 23 Oktober lepas akibat pencemaran di Sungai Semenyih yang disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.

Penutupan loji itu mengakibatkan gangguan air sementara di beberapa kawasan di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.