Perang dadah: Datuk bandar Filipina, 9 pengawal maut ditembak polis

mayor

KIDAPAWAN: Datuk bandar Filipina yang dituduh terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah terbunuh bersama 9 pengawal peribadinya dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis semalam, menurut pihak berkuasa.

Ia berlaku selepas beberapa jam Presiden Rodrigo Duterte mengugut untuk memperhebatkan lagi gerakannya membanteras jenayah dadah.

Samsudin Dimaukom, datuk bandar bagi bandar selatan Saudi Ampatuan, salah seorang daripada lebih 150 pegawai kerajaan tempatan, hakim dan polis yang dikenal pasti oleh Duterte awal tahun ini sebagai terbabit dalam perdagangan dadah.

Perang terhadap jenayah itu mengorbankan 3,800 nyawa dan dikritik Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang menuduh polis secara terus melaksanakan hukuman ke atas suspek.

Jurucakap polis Superintenden Romeo Galgo berkata Dimaukom dan pengawal keselamatan memulakan tembakan selepas polis antidadah menghentikan kenderaan mereka di tempat kejadian kerana disyaki sedang membawa dadah.

Pasukan polis kemudian membalas tembakan, membunuh semua lelaki terbabit di bandar Makilala, kira-kira 950km di selatan ibu kota Manila.

“Semua suspek bersenjata dan menembak ke arah pihak berkuasa, yang menyebabkan mereka membalas tembakan,” katanya.

Dimaukom sebelum ini mendanai pembinaan masjid merah jambu di Saudi Ampatuan bertujuan memberi keamanan kepada bandar itu yang musnah kerana keganasan.

Pemberontak Muslim melancarkan pemberontakan pemisah di selatan Filipina sejak berdekad lalu.

Duterte, yang mula menjadi presiden selepas pilihan raya pada Mei lalu berjanji untuk membanteras dadah, menggelar pengkritiknya sebagai “bodoh” dan berkata beliau tidak melanggar sebarang undang-undang domestik dengan mengancam untuk membunuh penjenayah.

Selepas pulang dari Jepun baru-baru ini beliau mengancam untuk meningkatkan tindakan polis membunuh suspek dadah.

“Jika hasrat saya untuk menghapuskan dadah di negara saya tidak dibenarkan, anda boleh jangka kira-kira 20,000 atau lebih lagi. Perang sedang berjalan,” katanya.