Rakyat Malaysia curi A$1 juta dari bank Australia

arrested

PETALING JAYA: Seorang lelaki rakyat Malaysia kini ditahan di Australia kerana dituduh mencuri hampir A$1 juta menerusi beberapa pengeluaran tunai dari cawangan Bank Melbourne.

Chen Seng Yee, 22, dibawa ke Mahkamah Majistret di sana pada Khamis dan diperintahkan ditahan reman.

Polis percaya dia menggunakan pasport palsu untuk ke cawangan bank di South Melbourne untuk memindahkan A$975,000 daripada akaun seorang pelanggan, rakyat China yang kaya, ke beberapa akaun lain.

Dia kemudian ke beberapa bank sekitar Melbourne pada Ogos dan September, membuat pengeluaran tunai dalam jumlah yang pelbagai dengan nilai terkumpul hampir A$685,000, menurut akhbar The Age.

Laporan itu berkata belum jelas berapa banyak pengeluaran dibuat tetapi mungkin hampir 12 kali.

Chen ditahan dalam serbuan di pangsapuri pusat bandar pada Khamis. Tiada wang tunai ditemui dan Bank Melbourne tidak memaklumkan sama ada berjaya memperoleh semula wang berkenaan atau tidak.

Ketika disiasat, detektif menemui satu lagi penipuan membabitkan A$120,000 menggunakan kaedah hampir sama tetapi butirannya belum diperoleh.

Awal tahun ini, seorang wanita rakyat Malaysia, Christine Jia Xin Lee, 21, ditahan selepas bank tersilap memasukkan overdraf bernilai A$4.6 juta di akaunnya di mana dia membelanjakan wang itu dengan membeli beg tangan berjenama, pakaian, barang kemas, cermin mata gelap dan skarf.