2 lemas, bot terbalik di Kedah

terbalik

SUNGAI PETANI: Dua mati lemas, manakala 11 lagi terselamat selepas sebuah bot yang membawa penumpang dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, Kuala Muda, terbalik.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lokman berkata, dalam kejadian itu, bot yang membawa 12 penumpang serta seorang tekong itu dipercayai terbalik selepas terlanggar tali sauh sebuah bot pukat tunda.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.38 pagi dan tiba di lokasi 30 minit kemudian.

“Bot yang membawa penumpang tempatan itu terbalik, selepas melanggar tali sauh bot pukat tunda. Mayat seorang lelaki dan perempuan masing-masing berumur 19 dan 34 tahun diserahkan kepada polis,” katanya.

Nur Hafizah berkata, semua penumpang diselamatkan bot penumpang lain yang berada di kawasan kejadian.

Dua daripada mereka dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, 4 dibawa ke Pantai Merdeka, manakala 5 lagi ke Tanjung Dawai.