Bagaimana Pak Lah selamatkan demokrasi pada 2008

Kalimullah-Hassan-paklah

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan lancar apabila parti pembangkang menang 5 negeri dalam pilihan raya umum 2008, menurut sumber dalaman di ibu pejabat Umno ketika kejadian.

Ahli perniagaan dan bekas wartawan Datuk Seri Kalimullah Hassan, yang juga sekutu Abdullah, menceritakan yang Abdullah mengarahkan polis supaya mengawal pejabat setiausaha kerajaan negeri dan pastikan pemimpin parti politik kedua pihak menghalang penyokong masing-masing daripada turun ke jalanan.

Ketegasan Abdullah di sebalik tabir “menyebabkan beliau tidak disukai pemimpin Umno yang merasakan beliau sudah mengecewakan mereka,” kata Kalimullah, yang menambah “Umno, sepertimana kita saksikan, tidak dapat menerima hakikat yang mereka sudah ditewaskan dalam pilihan raya.”

Dalam bukunya The Malaysia That Could Be, petikan daripadanya disiarkan Singapore Straits Times hari ini, Kalimullah berkongsi kejadian dan perbualan yang mengambil tempat di ibu pejabat Umno dan Barisan Nasional pada malam 8 Mac 2008 ketika keputusan pilihan raya dilaporkan.

Katanya ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Azalina Othman tampak tidak keruan dan keluar ke koridor sambil menangis lalu berkata: “Ini semua salah orang Cina”.

Katanya lagi bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib cuba memujuk dan membawanya masuk ke dalam, lalu meminta Abdullah dimaklumkan. “PM perlu tahu…ini semua cakap-cakap bahaya” dan Muhammad kemudian beritahu Abdullah: “Saya fikir kamu perlu tenangkan orang-orang kita.”

Menurut Kalimullah, Abdullah meminta mereka supaya bertenang. “Ini semua sebahagian daripada proses demokrasi. Adakala kita menang, adakala kita kalah.”

PM kemudian menghubungi Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan memberitahu yang beliau mahukan “peralihan kuasa yang lancar” tetapi bimbang emosi yang sedang meruap.

Musa diminta mengawal semua pejabat setiausaha negeri dan pastikan tiada fail atau dokumen dibawa keluar. Polis diarah menjaga keselamatan dan menyelia peralihan kuasa. Musa juga diminta memaklumkan parti politik supaya jangan turun ke jalanan.

“Saya tak ingat ayatnya tetapi Abdullah beritahu Musa supaya beri amaran kepada pemimpin parti pembangkang dan partinya sendiri yang beliau tidak akan bertolak ansur dengan sebarang usaha untuk mencetuskan kekacauan dan mereka yang berbuat demikian akan berdepan tindakan undang-undang,” kata Kalimullah.

Katanya Abdullah turut menolak cadangan pemimpin BN negeri untuk “membeli” Adun atau “cetuskan masalah” di negeri-negeri marjinal seperti Kedah, Perak dan Selangor.

“Tetapi Abdullah bertegas dan apabila nasihat tak termakan, beliau beri amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana ahli parti, kawan dan musuh yang cuba menjatuhkan proses demokrasi,” kata Kalimullah, yang merupakan timbalan pengerusi New Straits Times Press ketika itu.

“Bagaimanapun, kemudian, pada 2009, di hari terakhir Abdullah sebagai perdana menteri, penggantinya, Datuk Seri Najib Razak, mengatur pembelotan 3 Adun Perak, yang menyebabkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat tumbang.

“Pada masa itu, Abdullah seorang yang pincang dan hanya mampu tengok dari garisan tepi,” kata Kalimullah.