Bot terbalik: 2 pelancong tempatan lemas di Tanjung Dawai

bot-terbalik

SUNGAI PETANI: Dua pelancong tempatan yang ditemui lemas dalam tragedi bot terbalik di Tanjung Dawai, pagi tadi, sudah dikenal pasti identiti mereka, kata ketua polis daerah Kuala Muda.

ACP Md Zukir Md Isa berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Yap Wai Shiang, 19, dari Bandar Seri Damansara dan Peek Lai Yee, 34, dari Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati, semasa di separuh perjalanan iaitu kira-kira 1 kilometer ke dataran Pantai Merdeka, kipas bot terlanggar dan terbelit pada tali sauh sebuah bot pukat tunda yang merintangi laluan.

“Sembilan mangsa berjaya diselamatkan tekong bot dan bot lain yang berada berhampiran lokasi dan dibawa ke Jeti Tanjung Dawai dan Jeti Pantai Merdeka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.38 pagi itu, bot yang membawa 12 penumpang serta seorang tekong dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, terbalik di kuala Sungai Merbok.

Md Zukir berkata, kedua-dua mangsa lemas disahkan meninggal dunia selepas tiba di jeti Pantai Merdeka dan semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Mayat mangsa yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan hasil siasatan juga mendapati, mereka semua memakai jaket keselamatan semasa kejadian.

“Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Tanjung Dawai yang terkenal sebagai tempat menjual makanan laut merupakan lokasi popular untuk orang ramai menggunakan bot ke kawasan perkelahan Pantai Merdeka dengan kadar tambang bot RM2 seorang.

2 lemas, bot terbalik di Kedah