Exco Pulau Pinang dakwa Putrajaya enggan lulus dana RM350 juta sejak 2008

chow-flood-sunagi-pinang

PETALING JAYA: Exco Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan pusat mempercepatkan peruntukan RM350 juta diluluskan untuk projek tebatan banjir di Sungai Pinang, susulan banjir kilat semalam.

Chow Kon Yeow berkata, perkara itu banyak kali dibangkitkan kerajaan negeri sejak 2008, tetapi sehingga kini peruntukan itu belum diluluskan kerajaan pusat.

Pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, pengurusan lalu lintas dan tebatan Banjir itu berkata, banjir kilat di beberapa kawasan sepanjang Sungai Pinang dan anak sungai, semalam, menunjukkan keperluan untuk projek itu dilaksanakan segera.

“Fasa pertama siap lebih 10 tahun lalu. Bagaimanapun, fasa ke-2 tidak boleh diteruskan kerana kegagalan mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang membuat kesimpulan banjir kilat yang melanda daerah Timur Laut pada Sabtu berpunca daripada sistem perparitan tidak sistematik dan hujan lebat berterusan.

JPS dalam laporannya semalam memaklumkan, hujan berterusan selama 3 jam bermula kira-kira 4.30 petang hingga 7.30 malam menjejaskan kira-kira 300 isi rumah serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan utama, termasuk Jalan Masjid Negeri, Jalan Thean Teik dan beberapa jalan lain.

Chow berkata, lebih 200 keluarga yang tinggal di tanah rizab sungai sepanjang Sungai Pinang, sudah ditempatkan semula oleh JPS Pulau Pinang bagi membolehkan fasa ke-2 itu dijalankan.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, lembangan Sungai Pinang termasuk kawasan pembangunan kediaman berkepadatan tinggi, seperti Paya Terubong, Bandar Baru Air Itam, Jalan Air Itam, Jalan Lumba Kuda, kawasan Jelutong merangkumi Jalan P Ramlee, Jalan Dato Keramat dan Jalan Sungai Pinang.

JPS: Sistem parit tidak sistematik punca banjir kilat di Pulau Pinang

Ribuan terkandas banjir kilat di Pulau Pinang