Halang Bersih 5, Khairy mahu jalan ke Dataran Merdeka ditutup

khairy-bersih-1

PETALING JAYA: Polis sepatutnya halang penyokong Bersih berarak ke Dataran Merdeka pada 19 November, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Katanya dalam satu wawancara Sinar Harian, jalan yang ditetapkan sebagai laluan perarakan Bersih 5 patut ditutup supaya tunjuk perasaan itu tidak boleh diadakan.

Gabungan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 akan mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara pada 19 November mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan reformasi politik.

Kata Khairy “kekecohan seperti yang berlaku pada Bersih 3 (2010)” tidak boleh dibenarkan berulang. Katanya banyak kejadian melampau berlaku dalam tunjuk perasaan itu, termasuk terbalikkan kereta polis, serta banyak kedai dipecahkan.

Dalam himpunan itu pemberita dan jurugambar antara yang mengadu dikasari polism dan menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), polis menggunakan kekerasan yang tidak setimpal dan mendapati ada salah laku terhadap penunjuk perasaan oleh polis.

Khairy bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad yang berkata gerakan Baju Merah tidak akan berlaku sekiranya himpunan Bersih 5 dibatalkan.

“Merah hanya hendak tunjuk mereka menentang Bersih, kalau Bersih tidak buat-buat apa sudah tentu merah pun tidak akan buat apa-apa, jadi bebannya terletak di atas Bersih. Cara terbaik ialah tidak membenarkan perhimpunan Bersih 5 berlaku,” katanya.

Khairy memberi amaran Pemuda Umno yang menyertai Bersih 5 akan berdepan tindakan displin.

Baju Merah diketuai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos.