Johor pantau surau, masjid kekang Syiah berkembang

ceramah

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan sentiasa membuat pemantauan dan penerangan melalui surau dan masjid bagi mengekang Syiah berkembang di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Rofiki Samsudin berkata, pihak berkuasa negeri dan pasukan keselamatan juga akan sentiasa membuat pemantauan terhadap fahaman Syiah di Johor.

“Kita bimbang kalau kita lihat di negara luar (seperti) di Pakistan, Yaman…mungkin pada peringkat awal mereka boleh berbincang, berseminar tetapi akhirnya pertumpahan darah berlaku.

“Kita tak nak Malaysia macam itu. Cukuplah dengan apa yang berlaku di negara kita ini,” katannya selepas menghadiri Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 di Hotel Kuala Lumpur International, hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama polis menyerbu majlis bacaan doa dan kuliah anjuran pengikut Syiah di sebuah rumah kedai di Taman Daya, Johor Bahru.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, pihak berkuasa turut merampas beberapa kotak berisi buku.

Keesokannya, Penolong Pengarah Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman dilaporkan berkata, 26 individu yang ditahan itu akan disiasat di bawah 3 seksyen Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan didakwa di mahkamah.

Md Rofiki berkata, pihaknya tidak mahu Malaysia berpecah belah disebabkan perbezaan akidah antara Ahli Sunnah Wal Jamaah, Wahabi dan Syiah.

“Kalau boleh, Malaysia subur dengan amalan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya

PAUTAN:

JAINJ akan dakwa 26 individu hadir majlis Syiah di Johor

Jabatan agama serbu majlis Syiah di Johor, 5 ditahan