Operasi NGV di 67 stesen Petronas ditutup sementara

ngv

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) menutup sementara operasi gas asli (NGV) di 67 stesen minyaknya di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor, sehingga diberitahu kelak.

PDB dalam satu kenyataan semalam berkata, langkah itu bertujuan membolehkan kerja-kerja menaik taraf prosedur keselamatan untuk kemudahan NGV dilakukan.

Menurut kenyataan itu, PDB sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan piawaian keselamatan tertinggi dilaksanakan di premis mereka.

Namun, perkhidmatan mengisi petrol dan diesel serta Kedai Mesra tetap beroperasi seperti biasa.

Senarai kemudahan NGV di stesen Petronas yang masih beroperasi dan ditutup sementara boleh didapati di www.mymesra.com.my.

Pada 25 Oktober lalu, seorang pekerja stesen minyak maut dalam kejadian letupan dipercayai berpunca daripada tangki NGV di sebuah stesen minyak, di Taman Mount Austin, Johor.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru, Lt (PA) Mohd Aziz Jupri dilaporkan berkata, mangsa berusia 33 tahun, Mohd Faizal Mazlan, dipercayai berada berhampiran tangki berkenaan ketika ia meletup.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/25/stesen-minyak-meletup-seorang-maut-di-johor/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/25/henti-spekulasi-kebakaran-hospital-letupan-di-stesen-minyak-kata-polis/