Pak Lah pernah beri peringatan kepada Utusan

utusan-malaysia-1

PETALING JAYA: Utusan Malaysia melembutkan liputan yang berpotensi menjadi perkauman selepas mendapat panggilan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata bekas timbalan pengerusi New Straits Times Press, Datuk Seri Kalimullah Hassan.

Kalimullah membayangkan tajuk muka hadapan media milik Umno itu barangkali berbeza sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil pendekatan insan yang digantinya.

“Mungkin kita tidak akan terbaca tajuk berita ‘Apa Lagi Cina Mahu?’ di muka hadapan Utusan Malaysia serta banyak lagi rencana provokatif yang disiarkan sejak itu,” kata Kalimullah.

Beliau berpendapat teori tsunami Cina dan Utusan menyalahkan orang Cina kerana tidak menyokong Barisan Nasional pada 2013 menyebabkan prestasi terburuk gagasan itu dalam pilihan raya umum.

Cerita Kalimullah mengenai panggilan telefon kepada Utusan pada 2006 dimuatkan dalam bukunya The Malaysia That Could Be, petikan daripadanya disiarkan akhbar Singapura, The Straits Times hari ini.

Menurut Kalimullah, panggilan telefon itu berlaku semasa pembantu Abdullah berkumpul untuk memuktamadkan ucapan untuk Perhimpunan Agung Umno 2006. Editorial akhbar Utusan Malaysia pagi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka.

Pengerusi agensi berita Bernama ketika itu, Datuk Seri Anuar Zaini, dan ketua perhubungan Abdullah, Kamal Khalid risau membaca nada “sayap kanan” editorial itu.

“Kami semua setuju editorial itu hampir rasis dan berpotensi mendatangkan bahaya, sekiranya ahli Umno mengambilnya sebagai isyarat untuk mengeluarkan kenyataan sepertinya dalam perbahasan nanti,” kata Kalimullah.

Katanya Kamal memaklumkan Abdullah akan editorial itu apabila beliau menyertai mereka untuk bersarapan. “Riak wajah dan tingkah lakunya berubah. Beliau marah dan minta Kamal supaya hubungi Datuk Khalid Mohd, Ketua Pengarang Utusan Malaysia.”

Menurutnya, Abdullah memberitahu Khalid editorialnya hampir menghasut: “Kamu kawan saya, Khalid. Tapi kalau polis ambil keputusan untuk menyiasat kamu kerana menghasut, saya tak boleh halang mereka. Saya terpaksa benarkan undang-undang menentukannya.”

“Saya tak boleh beritahu polis jangan siasat kerana kita berkawan. Sekiranya mereka berpendapat ada kes terhadap kamu, saya khuatir tak dapat bantu kamu.”

Kalimullah berkata selepas itu liputan Utusan ke atas perhimpunan agung Umno “perlahan dan tidak menyiarkan editorial seperti itu.”

Seorang bekas wartawan, Kalimullah tidak bersetuju dengan campurtangan kerajaan dalam media teteapi “dalam konteks Malaysia” dan undang-undang Malaysia berkenaan kaum dan agama, “kita perlu mengingatkan mereka yang menyimpang bahawa perbuatan mereka boleh mengundang bencana.”

PAUTAN

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/30/bagaimana-pak-lah-selamatkan-demokrasi-pada-2008/