Pengusaha makanan dilarang guna minyak masak subsidi berniaga

minyak-masak

LANGKAWI: Tindakan akan dikenakan terhadap pengusaha makanan yang menggunakan minyak masak bersubsidi untuk perniagaan mereka, kata ketua cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Langkawi.

Shamnaziman Mohamed Taulan berkata, minyak masak bersubsidi hanya terhad untuk kegunaan persendirian, bukannya untuk berniaga.

“Ini yang menjadi isunya dan pembelian panik serta bekalan di rak kedai berkurangan, sebab peniaga membeli dalam kuantiti banyak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Walaupun belum ada aduan kekurangan bekalan setakat ini di sini, beliau berkata, pemantauan menyeluruh akan diteruskan bukan hanya melibatkan premis perniagaan menjual minyak masak, malah premis menjual makanan dan barangan pengguna.

“(Penggunaan domestik minyak masak) biasanya antara 1kg dan 5kg sahaja dalam sebulan, tapi kalau sudah sampai 100kg atau 1 tan (sebulan) tentulah tak logik. Kita akan buat siasatan,” katanya.

Shamnaziman berkata, kerjasama kementerian itu bersama agensi penguatkuasaan lain di Langkawi setakat ini berjaya menghalang cubaan menyeludup minyak masak keluar ke negara jiran.

“Kita bekerjasama dengan (Jabatan) Kastam dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) bagi menangani isu penyeludupan di sempadan. Setakat ini tiada ketirisan,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak.

Di bawah penstrukturan semula itu, harga minyak masak paket 1kg kekal pada harga RM2.50, tetapi minyak masak di dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa bulan depan.

Katanya, penstrukturan semula minyak masak itu dilakukan susulan kenaikan harga minyak sawit diproses (olein) daripada RM2,341 setan pada Januari 2015 kepada hampir RM3,000 setan sekarang.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/26/hamzah-subsidi-hanya-untuk-minyak-masak-1kg/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/25/rakyat-panik-punca-minyak-masak-kurang-kata-fomca/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/20/kerajaan-hapus-subsidi-minyak-masak-naik-harga-bulan-depan-kata-persatuan/