Hotel, pusat beli-belah nafi beri hak eksklusif kepada teksi

teksi-hotel-1

PETALING JAYA: Beberapa hotel dan pusat beli-belah menafikan dakwaan pemberian hak eksklusif kepada syarikat teksi tertentu bagi mengambil penumpang di premis mereka.

Dua hotel 5 bintang di Kuala Lumpur menafikan dakwaan sebuah syarikat teksi dengan berkata, mereka tidak mengenakan sebarang sekatan kepada Uber dan Grab untuk mengambil penumpang di lobi, lapor The Sun hari ini.

Seorang jurucakap Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur berkata, tiada perjanjian sedemikian untuk memberi hak eksklusif kepada mana-mana syarikat teksi di hotel terbabit.

“Kami boleh mengesahkan tidak pernah membuat sebarang perjanjian antara Ritz Carlton dan Big Blue Taxi,” kata jurucakap Ritz Carlton, Natalie Hay kepada akhbar itu.

Beliau merujuk dakwaan Pengasas Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail kononnya syarikat teksi lain dan perkhidmatan perkongsian kenderaan tidak dibenarkan mengambil penumpang di lobi Ritz Carlton.

Pengurus Besar Hotel Sunway Putra, Christopher Bong turut menafikan sebarang perjanjian dengan syarikat teksi.

Bong berkata, satu-satunya perjanjian eksklusif mereka ialah dengan anak syarikat Naza Ventures Holdings, Prestigelimo yang menyediakan perkhidmatan limusin untuk pelanggan mereka.

“Kami tiada masalah dengan pelanggan menggunakan perkhidmatan Uber dan Grab,” katanya sambil menambah dakwaan Shamsubahrin tidak benar dan perkara itu akan dibangkitkan dengan Prestigelimo.

Phang Saul Lian yang merupakan rakan sejawat Bong di Pusat Beli-Belah Sunway Putra turut mengesahkan mereka tiada kaitan rasmi atau sebaliknya dengan Big Blue Taxi dan syarikat teksi lain.

Minggu lalu, Uber dan Grab dilaporkan dilarang mengambil penumpang di lobi sesetengah hotel dan pusat beli-belah.

Menurut Shahmsubahrin, ia disebabkan subkontrak yang diberikan sebuah lagi syarikat Naza Ventures Holdings, Zalnas Limousine Sdn Bhd, kepada beliau dan beberapa pengusaha teksi lain yang mempunyai perjanjian eksklusif dengan syarikat terbabit.

Beliau turut menunjukkan salinan surat hak eksklusif yang dikeluarkan Zalnas kepada syarikat teksi terbabit.

Surat yang difaks kepada The Sun menunjukkan ia ditandatangani Naib Presiden Zalnas, Suradi Haji Sulaiman.

Turut disahkan tiada perjanjian yang dikeluarkan mana-mana hotel atau pusat beli-belah.

Bagaimanapun, Shamsubahrin memberi invois yang dikeluarkan kepada syarikat-syarikat teksi untuk pelekat khas berharga RM400 setiap satu. Laporan itu tidak menyatakan jika invois terbabit dikeluarkan hotel atau Zalnas.