Kaji semula SOP operator loji air, kata menteri

wan-junaidi_sungai-semenyih_600

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menyarankan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi operator loji air dikaji semula untuk mengenal pasti jenis bau yang membolehkan mereka menutup operasi loji.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Jaafar berkata cadangan itu bagi memastikan penutupan loji air itu tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna.

“Setakat ini hanya pihak Pengurusan Air Selangor yang memantau parameter bau sedangkan parameter bau tidak dikehendaki untuk dipantau dalam bekalan air mentah oleh Kementerian Kesihatan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga tidak mempunyai parameter bau di bawah Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi air sungai,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Wan Junaidi mengulas isu pencemaran bau di Sungai Buah di Nilai, Negeri Sembilan yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih baru-baru ini dan menjejaskan kira-kira 1.6 juta pengguna di Selangor.

Katanya, kementerian dengan kerjasama pasukan bersepadu pelbagai agensi yang diwujudkan merangkumi JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu itu.

Ini termasuk pembaikan semula benteng yang telah pecah yang dibina bagi menghalang aliran Sungai Buah yang disyaki tercemar ke Sungai Semenyih.

“Kerja pembaikan benteng yang pecah sedang dilakukan dan 3 lagi benteng akan dibina dan air akan dilepaskan melalui bukaan kecil di benteng pertama dan akan mengalir secara ‘melimpah’ melalui benteng seterusnya,” katanya.

Selain itu tindakan secara amalan kejuruteraan terbaik turut dilakukan dengan meletakkan karbon teraktif bagi mengurangkan pencemaran bau dan diletakkan pada setiap benteng yang dibina.

Beliau turut mencadangkan LUAS mengkaji penggunaan karbon teraktif sebagai amalan kejuruteraan terbaik seperti yang digunakan loji lain.

Wan Junaidi berkata JAS juga masih meneruskan pemantauan di samping memberi khidmat nasihat terhadap kerja yang sedang dilakukan pelbagai pihak yang berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pihak pengendali lebuh raya untuk segera melaporkan sebarang insiden kemalangan, melibatkan tumpahan bahan kimia atau bahan yang mengalir dan mencemarkan air kepada JAS agar boleh memantau kerja pembersihan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.