Polis temui 4 mayat dalam semak di Bachok

killer-knife

BACHOK: Empat mayat disyaki mangsa bunuh ditemui dalam semak di Kampung Tanjung Hilir, Bekelam, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata 4 mayat dipercayai 3 lelaki dan seorang wanita yang belum dikenal pasti identiti itu dipercayai dibunuh di tempat lain kemudian dibawa dan dicampakkan di semak berhampiran dengan jalan kampung itu.

Keempat-empat mangsa yang dianggar berumur antara 20 dan 30-an dipercayai sekurang-kurangnya meninggal dunia 3 hari lepas, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, malam tadi.

Rahman berkata berdasar pemeriksaan awal mendapati setiap mayat yang kepalanya dibungkus dengan plastik, mempunyai kesan tikaman di dada dan perut.

“Selain tikaman di dada dan perut, ada antara mangsa yang ada kesan calar di paha dan tangan mungkin kesan berlaku pergaduhan sebelum berlaku pembunuhan,” katanya.

Selain itu, Rahman berkata salah seorang mangsa juga dipercayai mempunyai tatu di tangan kanan.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan di tempat kejadian termasuk oleh unit forensik dan pegawai perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Beliau berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.