Bersih tanpa Melayu tidak akan berjaya, kata MCA

danial-teresa

PETALING JAYA: Tindakan Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan pada November 19 akan sia-sia, kata MCA, dengan alasan ia tidak mendapat sokongan orang Melayu.

Setiausaha Biro Keharmonian Agama MCA, Chris Daniel Wong berkata demikian mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, yang berkata golongan minoriti boleh berhimpun secara aman, menjawab ugutan keganasan terhadap penyokong Bersih oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Chris tertanya-tanya jika kenyataan ahli Parlimen Seputeh itu berpunca daripada penyokong Melayu yang hilang kepercayaan terhadap Bersih.

“Jika majoriti Melayu sudah hilang kepercayaan terhadap Bersih seperti yang Teresa katakan, maka ia adalah sia-sia untuk minoriti berhimpun kerana tanpa majoriti, apa yang Bersih harapkan tidak akan tercapai,” katanya semalam.

Wong berkata, Bersih juga sudah tewas dalam perjuangan mereka kerana ia sekadar alat pakatan pembangkang.

“Jika demonstrasi hanya untuk minoriti, maka Bersih dan seluruh pakatan pembangkang sudah tewas dalam perang moral mereka kerana Bersih kini dilihat dipergunakan pembangkang untuk menyebarkan kebencian dengan mengeksploitasi golongan minoriti.”

Beliau berkata, mungkin kaum majoriti cuba memberitahu pemantau pilihan raya itu yang mereka langsung tidak bersih, susulan dakwaan mereka ditaja kuasa asing seperti Institut Demokratik Kebangsaan dan Pembiayaan Kebangsaan Untuk Demokrasi di Amerika Syarikat serta Yayasan Masyarakat Terbuka milik George Soros yang didakwa cuba memusnahkan ekonomi dan demokrasi Malaysia oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sabtu lalu, Kok mempersoalkan tindakan Umno membenarkan ahlinya mengadakan aktiviti mengancam hak demokratik minoriti untuk berhimpun secara aman.

Bersih akan mengadakan perhimpunan Bersih 5 di Dataran Merdeka, pada 19 November ini, bagi mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pembaharuan politik.

Gerakan Baju Merah yang diketuai Jamal turut mengumumkan himpunan balas akan diadakan terhadap Bersih 5.

PAUTAN:

DAP gesa polis bertindak kenyataan ‘mandi darah’ Jamal Yunos