‘Jangan benarkan langsung guru disiasat gangguan seksual dekati murid’

syed azmi

PETALING JAYA: Guru sekolah yang berdepan siasatan berkait gangguan seksual perlu dilarang sama sekali daripada mendekati mangsa, kata aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi.

Ia susulan pendedahan Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat Isnin lalu, di mana 15 guru terlibat dalam kes mencabul kehormatan pelajar antara 2010 hingga 2016.

Menurut kementerian, guru yang terlibat dalam kes seumpama itu dipindahkan ke daerah lain dan dipantau jabatan pendidikan negeri sementara siasatan dijalankan.

Syed Azmi bagaimanapun mempersoalkan langkah memindahkan mereka, dan berkata sepatutnya guru terbabit dilarang langsung berhubung dengan murid sementara menunggu siasatan selesai.

“Adakah ini (memindahkan guru ke sekolah lain) bermakna mereka diletakkan di sebuah kawasan tanpa hubungan dengan murid? Adakah kita menunggu satu lagi berita ‘didakwa cabul’,” soal beliau ketika dihubungi FMT.

Syed Azmi bagaimanapun tidak bersetuju memecat terus guru terbabit, dan berkata undang-undang perlu dipatuhi.

Menurutnya, khidmat kaunseling dan pemulihan tidak mencukupi di sekolah, terutama sekolah aliran Tamil, di mana seorang guru di Selangor dituduh mencabul beberapa orang murid.

“Berapa banyak agensi atau NGO di negara ini yang memberikan khidmat pemulihan, kaunseling dan sokongan kepada mereka?

“Saya lebih terkesan kerana ia berlaku di sebuah sekolah kaum minoriti,” katanya.

Isu seorang guru di sebuah sekolah Tamil di Hulu Selangor terbongkar Mei lalu apabila seorang murid tahun 5 melaporkan salah laku itu kepada guru lain.

Akhbar harian Tamil Makkal Osai mendakwa guru berkenaan melakukan perbuatan keji itu selama beberapa bulan dan seramai 9 murid dikenal pasti menjadi mangsa.

Kami juga mangsa gangguan seksual murid, kata NUTP