MTUC mahu hasil GST lindungi harga petrol

PETALING JAYA: Kenaikan 15 sen petrol dan diesel yang berkuat kuasa semalam bukan saja membebankan pengguna malah akan dijadikan alasan pihak tertentu menaikkan harga barang, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Setiausaha Agung MTUC N.Gopal Kishnam berkata pihaknya berharap kerajaan akan memperkenalkan pelan konstruktif yang lebih menarik untuk menangani kos sara hidup, bukannya menyemak semula subsidi dan membenarkan kenaikan harga minyak.

Sehubungan itu, katanya MTUC mendesak kerajaan melindungi harga petrol dan diesel dengan mensubsidinya menggunakan wang kutipan GST yang dilaporkan berjumlah RM30 bilion setakat 19 Oktober, 2016.

Jumlah itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 Oktober lalu.

“MTUC percaya kenaikan itu berkait dengan dasar kerajaan untuk penstrukturan semula subsidi. Kenaikan harga petrol dan diesel juga bukan langkah praktikal kerana ia menyebabkan kesan negatif kepada hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harga minyak bagi November naik 15 sen dan dipercayai tertinggi setakat ini bagi 2016, malah harganya lebih tinggi berbanding pada Januari iaitu RM1.85 (RON95), RM2.25 (RON97) dan RM1.60 (diesel).

“Kenaikan itu tidak patut kerana ia akan menambah beban rakyat yang berdepan kesukaran dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Harga runcit baharu bagi RON95 berkuatkuasa 1 November ialah RM1.95 seliter manakala RON97 (RM2.30 seliter), diesel pula RM1.90 seliter.

Harga runcit petrol sepanjang Oktober bagi RON95 ialah RM1.80 seliter, RON97 (RM2.15) dan diesel (RM1.75).