Penjaga gol Korea Utara digantung sengaja biar pasukan kalah

north-korea-gkp

KUALA LUMPUR: Penjaga gol remaja Korea Utara digantung setahun kerana didapati sengaja melepaskan bola ke dalam gawangnya untuk memberi laluan mudah kepada pasukannya mara ke peringkat suku akhir.

Jang Paek-ho membiarkan bola melantun melepasinya, sebelum beliau meluncur di atas padang ketika bola bergolek ke dalam gawang melalui sepakan gol pemain Uzbekistan yang menyaksikan pasukannya kalah 1-3 dalam Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun, September lalu.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Uzbekistan menduduki tangga teratas kumpulan, mengatasi Korea Utara yang berjaya mengelak diundi menentang juara kejohanan, Iraq di peringkat suku akhir.

https://www.youtube.com/watch?v=S815pt0mY5o

Korea Utara yang berada di kedudukan kedua kumpulan kemudiannya menewaskan Oman sebelum tunduk kepada Iran di separuh akhir.

Tindakan Jang menyebabkan permainan itu mendapat “nama buruk” dan beliau digantung setahun dan didenda $1,000.

Jurulatihnya, Yung Jong-su turut digantung setahun dan didenda $5,000, sementara Persatuan Bola Sepak Korea Utara didenda $20,000.

Ini bermakna, Jang dan Yung akan terlepas Piala Dunia Bawah 17 tahun disebabkan penggantungan itu.

AFC turut memberi amaran kepada Korea Utara bakal digantung daripada pusingan kelayakan Kejohanan AFC Bawah 19 Tahun 2018, jika “perangai sama berulang”.

Rakaman video mengenai tindakan Jang sengaja melepaskan bola ke dalam gawangnya ditonton 5 juta kali di YouTube.