Polis berhak siasat jenayah bila laporan dibuat, kata peguam

ShafiePETALING JAYA: Polis mempunyai kuasa menyiasat sebarang perbuatan jenayah sebagaimana didakwa sebaik sahaja laporan dibuat, tetapi ia terpulang kepada pendakwa raya untuk membuat keputusan mendakwa suspek, kata peguam jenayah Gurbachan Singh.

“Siasatan adalah satu aspek proses undang-undang tetapi akhirnya pendakwa raya akan menentukan sama ada untuk membicarakan kes itu di mahkamah atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata pendakwa raya, yang juga peguam negara, mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah sama ada untuk menguji kesnya di mahkamah.

“Beliau tidak boleh dipersoalkan atas budi bicaranya,” katanya kepada FMT.

Peguam kanan itu berkata demikian sebagai respons berhubung bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal yang melabel siasatan polis ke atas ucapan beliau mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu bentuk ugutan kerana ia mencabul hak ahli Parlimen untuk bersuara.

Shafie, yang juga ahli Parlimen Semporna, berkata beliau sedar wakil rakyat tidak boleh membuat kenyataan berunsur hasutan walaupun dalam badan perundangan.

“Kami tahu apa yang dikatakan menghasut dan apa yang tidak,” kata Shafie, yang disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi.

Polis mengambil keterangan Shafie awal hari ini di Bukit Aman.

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri kewangan ke-2 Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah juga sedang disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang sama.

Gurbachan berkata, dalam kes di atas polis mempunyai hak menyoal menteri dan terpulang kepada pendakwa raya untuk melakukan pendakwaan.

“Akhirnya, ia terpulang kepada mahkamah untuk membuat keputusan sama ada kesalahan dilakukan dan memerlukan perbicaraan diadakan,” katanya.

Peguam itu berkata, persoalan menarik yang timbul adalah sama ada ketiga-tiganya mencabuli hak kebebasan bersuara dan imuniti Parlimen dengan ucapan mereka.

Sementara itu, peguam M Manoharan berkata sebaik sahaja laporan dibuat, polis akan cuba mengklasifikasikannya sebelum siasatan dijalankan.

“Kadang-kala, siasatan tidak akan bermula jika laporan itu tidak menunjukkan sebarang pelakuan kesalahan atau ia adalah lebih sesuai untuk tindakan sivil,” katanya.

Manoharan berkata, pihak yang terkilan bertindak terhadap pendakwa raya dakwaan berniat jahat tetapi tidak pernah menemui siasatan berniat jahat terhadap polis.

“Kami hanya perlu membenarkan polis menjalankan siasatan dan berharap pendakwa raya membuat penilaian sempurna berhubung kes itu, “katanya.

Soal siasat polis ugutan terhadap wakil rakyat, kata Shafie