Dakwaan 101 ladang babi di Selangor tak berlesen hanya palsu

Zaidy-Abdul-Talib

SHAH ALAM: Exco Selangor Zaidy Abdul Talib menafikan dakwaan mengenai kewujudan 101 ladang ternakan babi di Kuala Langat beroperasi tanpa lesen.

Beliau berkata berdasarkan semakannya dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), hanya ada 125 ladang ternakan babi di Kuala Langat dan semuanya berlesen.

“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan lesen itu. Tetapi saya baru semak dengan JPV dan terdapat 125 ladang ternakan babi dengan semua berlesen,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Dewan Annex DUN Selangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Berita Harian yang mendedahkan hanya 31 daripada 132 ladang babi yang beroperasi di kawasannya berlesen.

Menurut laporan itu, 127 daripada ladang itu menjadi penyebab pencemaran bau, tanah dan sungai di Kampung Batu Laut, Sepang.

Pemangku Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Nor Zamri Sondor berkata semua pengusaha haram itu akan menerima notis pemberitahuan kesalahan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Zaidy turut menafikan laporan akhbar itu yang mendakwa ada penduduk Melayu menjual tanah mereka yang berdekatan dengan ladang babi terbabit kerana tidak tahan bau busuk.

“Ramai jual tanah? Saya semak dari 2011 hingga 2016 ada 7 pindah milik (di kawasan ternakan babi Kuala Langat). Satu syarikat dan 6 individu. Daripada 6 individu itu, seorang saja pindahan milik Melayu kepada bukan Melayu. Itu pun bukan disebabkan pencemaran.

“Maka kenyataan itu tidak betul. Hasil semakan dengan pejabat tanah daerah Kuala Langat tentang ramai orang Melayu jual tanah, itu pun tidak betul,” katanya.

Zadiy berkata pada masa ini kerajaan negeri berada dalam fasa akhir semakan pelaksanaan projek Ladang Babi Moden (MFP) bagi menguruskan semua penternak dalam ladang babi di negeri ini.