Rujuk DUN Sarawak, jika ingin keluar Islam

sarawak-courtPETALING JAYA: Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan 3 individu dari Sarawak untuk keluar daripada Islam berkata pemulihannya terletak pada badan perundangan negeri.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang menulis penghakiman itu, tidak mengulas lanjut mengenainya.

“Pada matriks fakta kes ini, pemulihannya mungkin terletak di bawah bidang kuasa badan perundangan negeri,” katanya dalam penghakiman 16 muka surat yang disiarkan di laman web rasmi badan kehakiman.

Perkara-perkara berkaitan Islam dan Mahkamah Syariah berada di bawah bidang kuasa negeri seperti digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama Hakim Datuk Badariah Sahamid dan Datuk Kamardin Hashim, pada Ogos menolak usul Jenny Peter @ Nur Muzdhalifah Abdullah, Tiong Choo Ting @ Mohd Syafiq Abdullah dan Salina Jau Abdullah untuk keluar daripada Islam.

Hakim itu berkata, walaupun Mahkamah Rayuan memahami “kesusahan” yang dihadapi 3 individu berkenaan, ia tidak mempunyai pilihan kecuali mengikut prinsip undang-undang yang ditubuhkan Mahkamah Persekutuan.

“Ia kini diselesaikan barisan pihak berkuasa yang panjang, sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak, ia di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata Perkara 11 mengenai kebebasan beragama dalam Perlembagaan dan kuasa tambahan Mahkamah Tinggi yang ditetapkan dalam Jadual 1 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 perlu dibaca dalam konteks Perkara 121 (1A).

Peruntukan dalam Perlembagaan menyatakan mahkamah sivil tidak boleh campur tangan dalam hal-hal yang berkaitan dengan Islam di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa.

Ketiga-tiga perayu yang diwakili Baru Bian, menamakan pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai responden.

Mereka berusaha memaksa jabatan dan majlis agama Islam Sarawak mengeluarkan surat pelepasan keluar daripada Islam, dan juga memaksa JPN menukar nama Islam pada dokumentasi rasmi mereka kepada nama asal.

Mereka memeluk Islam kerana berkahwin dan meninggalkan agama tersebut selepas perceraian atau kematian pasangan masing-masing.

Baru berhujah yang Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001 tidak membuat apa-apa sebutan mengenai isu bidang kuasa ke atas murtad dan oleh itu Mahkamah Tinggi sepatutnya menjalankan bidang kuasanya membenarkan permohonan 3 individu itu.

Tengku Maimun berkata, walaupun ketetapan Mahkamah Syariah tidak membenarkan penukaran masuk atau keluar Islam, Bahagian VIII Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 menyediakan bagi pemelukan agama Islam.

Beliau berkata perkara itu diburukkan lagi apabila perayu mempunyai pengesahan bertulis daripada Mahkamah Syariah yang ia tidak mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan ketiga-tiga mereka bukan lagi Islam.

Beliau berkata bergantung kepada prinsip undang-undang yang ditubuhkan Mahkamah Persekutuan, dengan implikasi Jabatan Agama Islam Sarawak dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berurusan berhubung murtad walaupun jika mahkamah agama adalah betul untuk menyatakan ia tidak mempunyai bidang kuasa.