Tugas baik Kamil mesti diteruskan, kata pengamal filem tempatan

kamil othman

PETALING JAYA: Beberapa pemain dalam industri filem Malaysia menyuarakan sokongan terhadap Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman susulan penggalnya yang akan berakhir.

Beberapa pengarah dan penerbit mengulas mengenai isu petisyen dalam talian pada Ahad yang menggesa Finas memperbaharui penggal Kamil sebagai ketua pengarah, 2 tahun selepas pelantikannya pada November 2014.

“Kamil menjalankan tugasnya dengan baik untuk pembangunan industri filem di Malaysia, jadi penggal perkhidmatan beliau perlu disambung,” kata Sivanantham Perianan, penerbit eksekutif filem Jagat, yang memenangi anugerah Filem Terbaik Malaysia pada Festival Filem Malaysia ke-28 baru-baru ini.

“Kamil seorang yang sangat berpengetahuan luas mengenai pawagam dan perkara-perkara kreatif,” katanya.

Produser tempatan Yap Meow Chook turut bersetuju, mengatakan beliau Kamil seorang “peminat filem sejati”.

“Saya sangat menyokongnya untuk kekal sebagai ketua pengarah. Beliau sesuai untuk industri ini.

“Beliau sangat bermaklumat, mahir akan bidangnya dan mempunyai visi yang baik terhadap industri ini,” kata Yap, yang bekerja dengan syarikat produksi New Pro Star Sdn Bhd.

“Saya berjumpa dengannya semasa mula-mula menjadi ketua pengarah. Saya tidak mengatakan kami sangat rapat, tetapi saya mendapati beliau seorang penggemar filem sejati. Anda bercakap dengan beliau mengenai apa sahaja tentang filem, dan beliau mengetahuinya,” kata Yap.

Sivanantham juga menekankan profesionalisme dimiliki Kamil, katanya beliau adalah pilihan terbaik berbanding kakitangan kerajaan lain yang tidak mahir tentang industri filem.

“Mereka tidak mempunyai pengalaman. Kamil berpengalaman dan berminat dengan filem dan kandungan kreatif. Beliau tahu mengenai industri ini, dan bukan hanya di atas kertas sahaja.

“Kadang-kadang orang memerlukan lebih banyak masa, mereka tidak boleh melakukan perkara sebegitu banyak dalam masa 2 tahun. Secara peribadi, saya mahu melihat beliau diberikan satu penggal lagi,” kata Sivanantham.

Penulis, pelakon, dan pengajar lakonan Fatimah Abu Bakar, terkenal kerana peranannya dalam beberapa filem Malaysia sejak beberapa dekad lalu, dan juga ibu kepada pelakon Sharifah Amani daripada filem terkenal “Sepet”, berkata Kamil memerlukan masa untuk melihat hasil usaha beliau.

“Mana-mana idea yang baik mengambil masa untuk bercambah dan matang. Oleh itu, sila beri Kamil Othman masa untuk melihat hasil usaha beliau,” kata Fatimah.

Beliau juga menyatakan Kamil dan projek Finas mendapat sokongan daripada ramai orang muda.

“Saya tidak boleh ingat bila masanya industri filem tempatan terdapat begitu ramai orang muda yang teruja dengan projek Finas dan pelaksanaannya sebelum ini.

Mereka bercakap baik mengenai beliau, pasukannya dan kerja mereka.

“Di bawah kepimpinan beliau, ramai yang berharap. Sekurang-kurangnya beri beliau peluang yang adil untuk berjaya,” kata Fatimah.

Beliau menambah, pembuat filem muda daripada platform pembikinan filem Malaysia Next New Wave (NNW) dan Asean FLY juga memberikan pujian kepadanya.

PAUTAN:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/09/pengamal-filem-mahu-kamil-terus-terajui-finas/