Nasib TPPA dimuktamadkan di Peru minggu depan, kata menteri

TUMPAT: Hala tuju Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan ditentukan dalam mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Peru, seminggu lagi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sehubungan itu, Mustapa berkata Malaysia kecewa dengan perkembangan terkini mengenai TPPA setelah kelulusan Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk perjanjian perdagangan bebas antarabangsa berkenaan ditangguhkan.

Beliau berkata keputusan kelulusan kongres mengenai TPPA itu hanya akan diketahui selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat yang baharu pada 20 Januari depan.

Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik akan disertai 11 negara yang menandatangani TPPA kecuali Amerika Syarikat.

“Memang kita akui kecewa dengan perkembangan terkini kerana TPPA perjanjian dagang bebas antarabangsa pertama yang mengiktiraf hak Bumiputera di negara ini. Banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk rundingan bagi memeterai perjanjian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pecah Tanah Menaik Taraf Pondok Simpangan di sini, hari ini.

Sebanyak 12 negara iaitu AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia memuktamadkan rundingan TPPA di Atlanta pada 5 Oktober 2015 dan menandatangani perjanjian itu di Auckland pada 4 Februari 2016.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan sebagai sebahagian daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak 2010.