Jamal ditumbuk, 2 penyokong Bersih cedera

jamalPETALING JAYA: Datuk Jamal Md Yunos dilaporkan ditumbuk di hidungnya, manakala 2 penyokong Bersih cedera dalam insiden berasingan pada konvoi Bersih hari ini.

Ketua gerakan Baju Merah itu dilaporkan ditumbuk di mukanya dalam satu pergelutan di Pusat Beli-belah Ampang Point, sementara 3 penyokong Baju Merah turut dikatakan ditahan polis.

Dua penyokong Bersih pula dilaporkan cedera di Hulu Langat, pagi tadi, dalam satu konfrontasi dengan kira-kira 50 pengikut Baju Merah yang memaksa konvoi itu berpatah balik.

Menurut akaun Facebook Bersih, ketua penyelaras konvoi dan seorang petugas keselamatan cedera. Satu rakaman video turut dimuat naik menunjukkan sekumpulan individu berbaju merah menendang seorang penunggang motosikal berbaju kuning.

Di Pusat Beli-belah Ampang Point, Jamal dilapor melaungkan “Polis tumbuk saya”, tetapi beliau kemudiannya memberitahu wartawan yang itu adalah tindakan “seorang daripada orang Zuraida”.

Jamal dan penyokongnya mengekori Ketua Wanita PKR merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin ketika beliau dan ahli parti itu mempromosikan perhimpunan Bersih pada Sabtu depan.

Satu pergelutan tercetus dengan anggota polis yang mengawal di laluan keluar.

Pengarah Pilihan Raya PKR Ampang, Nallan Dhanabalan yang dipetik Malaysiakini mendakwa anggota polis berpakaian biasa menumbuk Jamal apabila polis cuba memisahkan kedua-dua kumpulan itu.

Di Hulu Langat, aktivis Bersih Hishamuddin Rais berkata, seorang penyokong Bersih ditumbuk, manakala seorang lagi ditendang.

Konvoi itu berpatah balik dan menuju ke Kajang apabila lebih 50 penyokong Baju Merah muncul.

https://www.youtube.com/watch?v=3JgXfVF-V6E

Kami akan halang Bersih 5 dengan apa jua cara, kata Jamal