Khairuddin di hospital, mahkamah tangguh rayuan Putrajaya

Haniff-Khatri-Abdulla-khairuddin

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menangguhkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan jaminan kepada 2 pengkritik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila seorang daripada mereka berada di hospital.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu pengerusi panel hakim Datuk Ahmadi Hasnawi anak guamnya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana dehidrasi yang teruk dan keletihan.

“Beliau akan berada di hospital selama 2 hari,” kata Haniff sambil menambah Khairuddin dimasukkan ke wad semalam.

Ahmadi, yang bersidang bersama Nalini Pathmanaban dan Datuk Kamardin Hashim, kemudian menetapkan rayuan didengar pada 13 Disember.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah.

Peguam Matthias Chang, yang didakwa bersama Khairuddin, hadir di mahkamah hari ini.

Pada 18 November tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin mendapati pertuduhan sabotaj terhadap Khairuddin dan peguamnya Matthias bukan di bawah bidang kuasa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hakim kemudian memberikan mereka ikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tunggal sementara menunggu keputusan perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Pada 12 Oktober, Khairuddin dan Chang didakwa bersama di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana mensabotaj laporan perbankan dan perkhidmatan kewangan negara berikutan laporan mengenai 1MDB dengan pihak berkuasa di Perancis, Hong Kong, Singapura, United Kingdom dan Switzerland.

Khairuddin ditahan pada 23 September di bawah undang-undang anti-keganasan, manakala Chang ditahan pada 8 Oktober bawah undang-undang yang sama.

Dalam penghakimannya, Azman berkata Perkara 149 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan, yang meliputi tindakan memudaratkan penyelenggaraan atau fungsi bekalan atau perkhidmatan kepada orang ramai, dikecualikan daripada mukadimah Sosma itu.

PAUTAN: 

Tuduhan sabotaj kewangan: Rayuan Khairuddin ditolak