PETALING JAYA: Seorang pemerhati politik di Singapura bimbang projek pelabuhan Melaka berharga RM43 bilion menerusi usahasama dengan China lebih merupakan agenda Beijing mempertahankan kepentingannya di Selat Melaka, lapor The Straits Times (ST).
Ini kerana kebanyakan aktiviti perdagangan China menggunakan perairan tersibuk di dunia itu terutama dalam membekalkan negara itu bahan api.
“Ada elemen strategik mengenai Selat Melaka,” kata pakar hubungan Malaysia-China, Dr Johan Saravanamuttu dari S. Rajaratnam School of International Studies.
“Ia selalunya bermula dengan penglibatan ekonomi, yang boleh bertukar kepada ketenteraan, kerana China terpanggil memastikan keselamatan semua kapal dagangnya,” katanya dipetik ST.
Pembinaan pelabuhan itu sebahagian daripada projek “Melaka Gateway” yang melibatkan syarikat jana kuasa gergasi PowerChina International, dan merupakan antara pelbagai usaha sama ekonomi dengan China yang dijalinkan selepas lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Beijing awal bulan ini.
Projek yang dijangka siap pada 2025 itu diharapkan dapat mengurangkan beban Pelabuhan Klang, di samping menarik lebih 100,000 kapal kebanyakannya milik China
Projek itu juga dilihat memberi persaingan hebat terhadap usaha Singapura meluaskan pelabuhannya, yang kini dianggap paling sibuk di rantau ini.
Najib baru-baru ini mempertahankan beberapa pemberian kontrak kepada syarikat China, di sebalik kritikan Malaysia semakin bergantung kepada Beijing.
Ia turut mengundang spekulasi kecenderungan kepada Beijing merupakan balasan kepada sokongan dana China bagi membantu melangsaikan hutang 1MDB, syarikat milik negara yang terpalit skandal termasuk siasatan pihak berkuasa di Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland.
Bandar Malaysia atau bandar China, soal bekas duta ke Canada