Penerimaan terhadap ISA semakin baik, kata menteri Singapura

K-Shanmugam_isa_600PETALING JAYA: Lebih ramai warga Singapura menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berbanding beberapa tahun kebelakangan ini, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri & Menteri Undang-Undang, K Shanmugam semalam, sebagaimana dilaporkan Today Online.

Ditanya mengenai kemungkinan perubahan di republik itu ke arah nilai lebih liberal dan pengiktirafan lebih besar terhadap hak asasi manusia yang boleh membawa kepada undang-undang itu dimansuhkan, Shanmugam berkata suasana negara itu bergerak ke arah penguatkuasaan lebih ketat beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya percaya sokongan terhadap ISA meningkat. Saya rasa isu ISA menerima pandangan berbeza, kerana itu ia menerima sokongan yang besar.

“Hakikatnya, penduduk kita sangat berpendidikan dan menyedari apa yang berlaku dan tahu sebarang penyalahgunaan akta akan segera membawa kepada akibat oleh penduduk,” Shanmugam dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata, penggunaan ISA Singapura sejak 2 tahun yang lalu tidak memperoleh sebarang bantahan di kalangan aktivis sosial dan kumpulan yang membantah penggunaannya pada masa lalu.

Shanmugam berkata demikian pada sesi dialog dianjurkan National University of Singapore (NUS), Persatuan Alumni Sains Politik dan firma perkhidmatan keselamatan TwinRock Global.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ISA, yang memperuntukkan penahanan tanpa bicara digunakan untuk menahan rakyat Singapura yang menyokong kumpulan militan Islamic State (IS) dan juga mereka yang cuba meninggalkan negara untuk berjuang di Syria.

Malaysia memansuhkan ISA, enakmen yang hampir sama seperti digunakan di Singapura, pada 2011.

Ia adalah sebahagian daripada ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam undang-undang persekutuan, termasuk pemansuhan 3 Proklamasi Darurat.

Ini membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933.

Gesaan memansuhkan ISA di Malaysia datang selepas ia dikatakan disalahgunakan apabila terdapat pemimpin parti pembangkang, ahli-ahli NGO dan juga wartawan ditahan di bawah akta itu.

Akta 2012 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dilaksanakan pada Jun 2012, yang bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan selepas pemansuhan ISA.

Pada 2012, Najib juga berjanji memansuhkan Akta Hasutan tetapi beliau belum melaksanakannya.