Baju Merah mula berkumpul di Masjid Negara, Jamal tak muncul

bajumerahkl

KUALA LUMPUR: Penyokong gerakan Baju Merah mula berhimpun di hadapan pintu utama Masjid Negara, sebuah daripada lokasi berkumpul mereka menjelang himpunan balas terhadap Bersih 5, esok.

Ketua mereka, Datuk Seri Jamal Yunos yang dijadualkan turut hadir dan mengadakan sidang media bagaimanapun tidak tunjuk muka dan gagal dihubungi.

Seorang pemimpin Baju Merah, Razali Zakaria berkata, mereka akan terus berada di sana sehingga esok dan menjangkakan lebih ramai penyokong gerakan itu akan tiba malam ini.

“Kita akan berada di mana sahaja Bersih berada. Jadi, kami mahu sampai dulu di sini,” katanya.

Kira-kira 50 penyokong gerakan itu mula berkumpul seawal 3 petang tadi bagi mendengar ucapan beberapa pemimpin mereka.

Seorang pemimpin mereka, Tarmizi Mustafa yang lebih dikenali sebagai “Ayahanda Gee Magic” mengingatkan matlamat mereka untuk menghalang Bersih menggugat kedudukan Islam di Malaysia.

Beliau turut menasihatkan setiap peserta perhimpunan itu mengekalkan keamanan negara dan tidak mengancam peserta Bersih.

Namun, sesi ucapan itu terpaksa dihentikan ekoran hujan lebat sejam kemudian dan setakat ini, hampir semuanya sudah bersurai.

Selepas beberapa pertembungan antara penyokong gerakan Baju Merah dan Bersih sepanjang konvoi Bersih 5 sejak 1 Oktober lalu, kedua-dua pihak berdegil akan meneruskan himpunan kemuncak mereka walaupun diberi amaran keras oleh polis.