PAS: Kahwin awal lebih baik, ada suami jaga

Datuk-Khairuddin-Aman-RazalPETALING JAYA: PAS menyifatkan cadangan usia minimum perkahwinan gadis Islam di negara ini dinaikkan kepada 18 tahun sebagai remeh dan bercanggah syariah Islam, kata ketua penerangan dewan ulamanya.

Sebaliknya, Datuk Khairuddin Aman Razali menyokong had umur minimum 16 tahun yang dilaksanakan ketika ini, dengan alasan kehidupan mereka lebih baik dengan adanya penjagaan suami.

“Kita tidak ada hak untuk memberi pandangan lain daripada syarak. Alasan yang dikemukakan itu alasan remeh.

“Perkahwinan tidak semestinya menghalang kerjaya, pendidikan dan aktiviti kemanusiaan. Sebaliknya, perkahwinan mengukuhkan hak-hak kemanusiaan untuk bekerja dan mendapatkan kehidupan yang baik.

“Perempuan lebih terbela dengan adanya suami,” kata ahli Parlimen Kuala Nerus itu kepada FMT.

Beliau mengulas saranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menaikkan had umur perkahwinan gadis Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun yang turut disokong Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Alasannya, perkahwinan 18 tahun ke bawah akan menjejaskan pembesaran kanak-kanak perempuan termasuk kehamilan di usia muda, mengganggu pembelajaran, mengehadkan peluang untuk kerjaya dan risiko keganasan rumah tangga.

Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, saranan kementerian itu mampu membela dan melindungi wanita kerana jika kekal pada usia 16 tahun, kanak-kanak perempuan mungkin berdepan keadaan lebih berbahaya.

“Ada ibu bapa hendak melepaskan tanggungjawab dengan mengahwinkan anak perempuan yang dikatakan liar dan di luar kawalan. Dia gagal mendidik dan kemudian mengawasi anak-anak maka kahwinkan. Apakah suami akan dapat mengawal anak-anak yang bermasalah?

“Ada yang mengahwinkan anak kerana sudah mengandung. Kalau begini, kita sudah melepaskan bakal suami yang ‘merogol’ kanak-kanak perempuan bawah umur 18 tahun,” katanya.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun, manakala 16 tahun untuk perempuan.

Perkahwinan di bawah umur dibenarkan, jika mereka mendapat kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa masing-masing.

Tinjauan pendapat Unicef: Naikkan had umur berkahwin kepada 21 tahun