‘Sial’, ‘lembu’ selepas serangan ke atas Teresa Kok

Tajuddin-RahmanKUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas kenyataan berbaur seksual daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ke atas Teresa Kok (DAP-Seputeh).

“Satu-satunya wanita yang ada Kok ialah Seputeh,” kata Tajudin merujuk nama keluarga naib pengerusi kebangsaan DAP itu, ketika wakil rakyat membahaskan perhimpunan Bersih 5.

Kenyataan itu menimbulkan kekecohan, dengan Teresa menyelarnya “tidak bertamadun” manakala M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) menuntut Tajuddin supaya menarik balik kenyataan itu atau berdepan tindakan.

Tajuddin menjawab: “Suruh Ipoh Barat cari tali lembu lah nak tarik balik.”

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee bagaimanapun cuba berhujah yang Tajuddin hanya merujuk kepada nama Teresa.

Ia mengundang kutukan segera daripada Khalid Samad (Amanah-Shah Alam): “Kami tahu apa yang benar-benar dimaksudkan beliau. Minta dia tarik balik.

“Tunjuklah akhlak baik sikit. Dah lah pakai songkok, bahasa…sial!”

Kasturi Patto (DAP-Batu Kawan) kemudian bangun meminta Ronald yang mempengerusikan sesi itu supaya menuntut Tajuddin menarik balik kenyataannya, sambil diejek Tajudin.

Ini menimbulkan kemarahan Khalid yang berkata: “Buat malulah pakai songkok, tunjuklah perangai baik sikit”

Tajuddin kemudian menjawab “Kurang ajar” terhadap Khalid, diikuti Khalid memanggilnya “Menteri sial!” beberapa kali.

“Ek eleh, tengoklah siapa sial,” jawab Tajudin, sambil berkata beliau tidak takut dengan Khalid. Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Hatta Ramli (Amanah-Kuala Krai) turut bangun membantah kenyataan Tajudin.