5 penjawat awam dikesan sertai Bersih 5, kata KSN

ali-hamsa

PUTRAJAYA: Lima penjawat awam dikesan menyertai perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, kata ketua setiausaha negara.

Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, mereka adalah petugas di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Setakat ini, kita mengesan 3 orang daripada perkhidmatan pendidikan dan 2 orang daripada pendidikan tinggi menyertai Bersih 5.

“Kita tidak perlu mendedahkan lagi nama individu terbabit dan kita biarkan kementerian itu mengambil tindakan,” katanya kepada FMT di lobi auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Ali bagaimanapun tidak menjawab soalan berhubung perhimpunan gerakan Baju Merah.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan jika kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang terbabit dalam perhimpunan Bersih 5 dan perhimpunan balas anjuran gerakan Baju Merah.

Semalam, Ali meminta semua kementerian mengenal pasti pegawai serta kakitangan yang terbabit dalam perhimpunan Bersih 5 dan hukuman akan dikenakan berdasarkan bentuk kesalahan mereka.

Minggu lalu, beliau mengingatkan penjawat awam tidak menyertai perhimpunan haram pada Sabtu lalu atau mereka akan berdepan tindakan tatatertib, termasuk dibuang kerja atau potong gaji.

Ali berkata, buat masa ini, hukuman yang akan diberikan belum ditentukan sementara menunggu siasatan kementerian terbabit.

“Tindakan itu kena tunggu (siasatan selesai),” katanya ringkas.

PAUTAN:

Penjawat awam terlibat Bersih 5 dibuang kerja, potong gaji

KSN: Penjawat awam akan dibuang kerja, potong gaji jika babit himpunan