Hormati hasrat orang Islam laksana hudud, kata ahli Parlimen PSM

Dr-Jeyakumar-Devaraj.

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu menghormati usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika masyarakat Islam negara ini percaya ia sebahagian daripada tanggungjawab mereka, kata Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Jeyakumar mengingatkan ia menjadi hak setiap masyarakat di Malaysia untuk membuat keputusan mengenai bagaimana mahu mengamalkan agama mereka.

“Berdasarkan prinsip ini, jika masyarakat Islam di Malaysia percaya dengan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah di negara inih merupakan sebahagian tanggungjawab sebagai seorang Islam, maka kaum lain tidak harus menghalang mereka berbuat demikian.

“Bagaimanapun golongan bukan Islam di negara ini perlu diberi taklimat mengenai RUU itu bagi memastikan hak mereka tidak dilanggar.”

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan sesi taklimat khas mengenai RUU 355, di mana setiap Ahli Parlimen Islam dijemput menghadirinya.

Ini mendorong respons daripada wakil Amanah, Khalid Samad yang menegaskan sepatutnya bukan Islam turut dijemput ke sesi taklimat itu dalam usaha membersihkan kekeliruan terhadap RUU itu.

Jeyakumar juga berkongsi sentimen sama dengan Khalid, mengatakan bukan Islam perlu diberitahu mengenai implikasi RUU itu untuk memastikan adanya pemisahan kuasa antara mahkamah Syariah dan sivil.

Beliau turut menekankan keperluan lebih banyak perbincangan mengenai RUU 355, kerana terdapat beberapa ahli Parlimen yang prihatin terhadap kemungkinan implikasinya ke atas orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

Apabila ditanya pemberita sama ada beliau akan mengundi menyokong terhadap RUU itu, Jeyakumar berkata beliau perlu merujuk kepada rakan-rakan parti dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Saya berbelah bahagi kerana tidak boleh mengundi berdasarkan apa yang saya rasa sebagai India. Saya perlu mengambil kira yang saya mewakili 1/3 Melayu dan 1/3 Cina di kawasan saya.

“Jadi saya perlu mengundi berdasarkan apa yang orang saya mahu.”

Semalam, Zahid berkata pindaan RUU 355 akan dibaca untuk kali pertama sebelum akhir sesi Parlimen pada Khamis ini.

Zahid juga berkata Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam akan ditubuhkan untuk mengkajinya lebih lanjut.

RUU yang dibawa Hadi pada 26 Mei bertujuan meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah untuk mengenakan penalti lebih berat terhadap kesalahan di bawah undang-undang Syariah bagi kesalahan Islam yang disenaraikan di bawah bidang kuasa negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.