Insiden lempar baju: Pemain badminton Denmark mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Jan-O-Jorgensen

HONG KONG: Pemain badminton Denmark, Jan O Jorgensen memohon maaf dan menegaskan beliau tidak berniat untuk bersikap “kurang ajar” selepas melemparkan baju yang mempunyai bendera Malaysia, milik pemain negara semasa pertandingan badminton Terbuka China pada 19 November lalu.

Beliau yang memenangi pertandingan di Fuzhou pada Ahad baru ini, membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia apabila bertindak melemparkan baju milik, Iskandar Zulkarnain Zainuddin ke gelanggang bandminton semasa rehat pada pertandingan separuh akhir.

Tindakan itu menyinggung hati Iskandar yang kemudiannya memberitahu media Malaysia: “… Jersi saya mempunyai bendera kebangsaan Malaysia. Saya tidak mempunyai masalah jika anda tidak menghormati saya tetapi sila hormati Jalur Gemilang pada baju saya”.

Peminat yang marah kemudian menjadikan media sosial untuk mengkritik Jorgensen, yang mendorong beliau memohon maaf melalui Facebook.

“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perbuatan membaling baju Iskandar. Bukan maksud saya menjadi kurang ajar … saya menghormati beliau,” tulis Jorgensen.

Bagaimanapun, ia tidak cukup untuk menenangkan peminat, dengan terdapat satu komen di Instagram: “Tolong belajar bagaimana menghormati orang!”

Sebelum ini, pernah menjadi isu apabila sekumpulan warga Australia digelar “Budgie 9” ditahan kerana melucutkan pakaian hingga menampakkan seluar renang yang mempunyai corak bendera Malaysia semasa Formula One Grand Prix bulan lepas.