PRU14: Ibrahim Ali mahu bertanding di Pasir Mas

ibrahim-ali-kelantan

KUALA LUMPUR: Datuk Ibrahim Ali membayangkan beliau mungkin kembali ke bertanding di kerusi tradisinya, Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu, jika bukan kerusi Parlimen Pasir Mas, beliau akan memilih kawasan lain di Kelantan.

“Saya akan bertanding kembali di Pasir Mas, mungkin juga Rantau Panjang, di Kelantanlah (sebagai calon Bebas). Tiada ada kena-mengena dengan Perkasa,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa hari ini.

Ibrahim pernah memenangi kerusi Pasir Mas pada 1986 di bawah tiket Umno dan 1990 ketika bersama Semangat 46 pada 1995.

Beliau bagaimanapun tewas pada 1999 dan 2004, sebelum menang semula di kerusi sama pada 2008 di bawah tiket PAS dan kemudiannya bertanding sebagai calon bebas dan kalah di tangan muka baharu PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada 2013.

Ahad lalu, Ibrahim mengumumkan Perkasa akan menghantar 50 calon Bebas untuk bertanding pada PRU14 dan menyanggah kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang penyertaan Perkasa dalam PRU bakal memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada BN.

Beliau berkata, beberapa pihak mencadangkan Perkasa menyertai PRU14 selaku parti politik, tetapi beliau menolaknya.

Beliau berkata, calon Bebas tidak terikat dengan pendirian parti, sebaliknya bebas bersuara dan mengundi dalam Dewan Rakyat mengikut prinsip sendiri.

“Jika lawan anda akan dipecat. Malaysia tidak sama dengan Amerika Syarikat, di mana ahli kongres Parti Republican boleh bercanggah dan mengundi menentang keputusan partinya, begitu juga dengan Parti Democratic.

“Mana tahu jika berlaku Parlimen tergantung (tiada pihak boleh membentuk kerajaan secara sendiri), ahli Parlimen Bebas (dari Perkasa) akan menjadi penentu. Ketika itu, kita akan berunding tetapi bukan untuk jawatan, sebaliknya agenda kita,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/11/20/ibrahim-ali-perkasa-letak-50-calon-bebas-untuk-pru14/