Wanita Umno beradab, tak perlu ‘cool’ macam pembangkang, kata Shahrizat

shahrizat-jalilKUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan beradab, dan tidak bertindak dramatik seperti pembangkang.

“Kita berjuang dengan beradab. Sebaliknya saya lihat pembangkang merasakan agresif itu adalah moden, tidak beradab itu adalah moden, suara songsang adalah ‘cool’.

“Bagi saya, itu definisi yang ketinggalan. Wanita Umno lebih berminat dengan cara moden penuh tradisi, tidak perlu melaung, terlalak-lalak, buat kerja gila di tengah jalan untuk mendapat sesuatu,” katanya dalam satu wawancara bersama Bernama menjelang Perhimpunan Agung Umno 2016, yang berlangsung minggu hadapan.

Menyangkal dakwaan wanita profesional lebih selesa memilih platform pembangkang untuk menyuarakan pandangan dan memperjuangkan prinsip mereka berbanding Umno, Shahrizat berkata Wanita Umno mempunyai keahlian yang seimbang.

Katanya, mereka berpengalaman, berusia dan matang serta ahli yang mempunyai pendidikan tinggi dalam pelbagai bidang termasuk golongan profesional seperti peguam, doktor, usahawan dan akauntan untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat.

Bekas menteri yang juga penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan, yang lebih penting adalah melihat hasil gerak kerja Wanita Umno dalam menangani isu serta memastikan tindakan yang diambil bagi sesuatu masalah.

“Outcome (hasil tindakan) itu yang mustahak, KPI kita mustahak, sebab itu hari ini kita lihat banyak isu wanita dapat perhatian secara terhormat. Itu unik dan indahnya berada dalam Wanita Umno,” katanya.

Mengambil peluang perhimpunan tahunan minggu hadapan untuk membawa mesej jelas kepada para perwakilan memberi fokus kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Shahrizat berkata ucapan dasarnya antara lain akan menjurus kepada kesiapsiagaan Wanita Umno, yang dianggotai kira-kira 1.36 juta orang bagi menghadapi PRU yang dilihat amat mencabar berbanding pilihan raya sebelum ini.

Menekankan pentingnya anggota sayap itu bersatu padu dan merapatkan barisan serta mengukuhkan solidariti bagi memastikan Umno kuat, Wanita Umno sebagai srikandi, katanya menjadi benteng yang akan mempertahankan institusi presiden.

“Kalau kita ada senjata, ada idea yang baik, retorik yang hebat tetapi kalau kita tiada perpaduan, kita hancur. Jadi saya minta kepada Wanita teruskan, kekalkan perpaduan yang ada. Prinsip kami ialah kami sokong institusi presiden, kami selaku tulang belakang parti tidak boleh tergelincir daripada prinsip ini,” tegasnya.

Beliau menjangkakan perhimpunan kali ini mungkin yang terakhir sebelum PRU14, Shahrizat berkata semangat anggota pergerakan wanita berkobar-kobar dan sudah bersiap siaga untuk mengerah jenteranya bagi menghadapi PRU, yang dilihat sangat mencabar.

“Wanita sudah bersedia untuk masuk gelanggang PRU. Kami tunggu sahaja bila masanya, terpulang kepada YAB Presiden (untuk mengumumkan bila pilihan raya), kami memang sudah siap siaga,” katanya.

Katanya, pemimpin Umno di setiap peringkat perlu sentiasa awas dan mengambil iktibar dengan pergolakan dalaman, sehingga ada yang keluar Umno dan membuka parti baharu berlawan dengan Umno.

“Sudah menjadi lumrah parti politik, bukan hanya dalam Umno, pembangkang pun ahlinya keluar masuk, keadaan seperti ini selalu berlaku. Pemimpin terdahulu tidak berpuas hati. Keluar buka parti baharu itu tidak ganjil, kita ahli politik kita bukan ahli persatuan kebajikan.

“Kita mesti siap siaga, bersedia untuk hadapi apa jua cubaan dan dugaan,” katanya.