Perbendaharaan: Kelemahan ringgit hanya jangka pendek

irwan-ringgit

PUTRAJAYA: Kelemahan ringgit ketika ini adalah untuk jangka pendek, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, unit tempatan akan mengukuh dalam jangka panjang dengan kemasukan pelaburan langsung asing serta beberapa projek kerajaan yang akan dilaksanakan tahun depan.

“Ekonomi Malaysia adalah kukuh dan harga minyak stabil kerana tidak jatuh di bawah AS$40 (setong). Ekonomi global lembap sedikit tahun ini, tetapi diharapkan ia akan bertambah baik.

“Oleh itu, saya tidak nampak kenapa perlu bimbang mengenai kelemahan ringgit. Kita sedang berkembang, tetapi disebabkan sesetengah pihak memperkata perkara negatif, ia menjejaskan persepsi mengenai negara ini,” katanya pada majlis penutup Cabaran Kod Nasional (II) 2016 hari ini.

Sentimen lemah terhadap mata wang sedang muncul, berikutan spekulasi kenaikan kadar faedah AS pada Disember yang menyebabkan ringgit menyusut berbanding dolar AS.

Hari ini, ringgit dibuka pada 4.4500/4600 berbanding dolar AS daripada 4.4400/4450 pada Rabu. Ia ditutup tinggi sedikit pada 4.4450/4550.