Perkara biasa anak pertahan maruah bapa, kata Tajuddin

Tajuddin-Rahman

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman mempertahankan kejadian serangan ke atas Khalid Samad di luar Parlimen pagi ini tetapi menegaskan beliau langsung tidak mengetahui perancangan bantahan itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada anaknya hadir pada bantahan itu, Tajuddin mengesahkannya.

Anaknya, Dr Faisal Tajuddin adalah ketua Pemuda Umno Pasir Salak, dan Tajuddin berkata sayap bahagian Wanita juga turut sama.

“Orang-orang seperti kami adalah daripada latar belakang keluarga yang mementingkan maruah,” Tajuddin memberitahu FMT, menyatakan ia tindakan biasa bagi seorang anak lelaki melindungi bapa, atau sebaliknya.

Kekecohan tercetus di luar Parlimen pagi ini apabila satu kumpulan dari Pasir Salak hadir menemui Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Kumpulan terdiri daripada beberapa 20 hingga 30 lelaki dan perempuan bermula dengan menganggu Khalid sambil menjerit “Hidup Pasir Salak! Hidup Pasir Salak!”

Kehadiran mereka di luar Parlimen adalah untuk menunjukkan rasa tidak senang kepada Khalid terhadap apa yang berlaku di Dewan Rakyat pada Isnin, apabila Khalid memanggil Tajuddin “menteri sial”.

Tajuddin, yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani bagaimanapun menegaskan beliau tidak mengetahui mereka akan mengadakan protes serta menegaskan tidak menganjurkannya kerana tidak mahu dianggap memerlukan bantuan orang lain untuk mempertahankan diri.

“Kalau saya yang buat..ia akan lebih besar jadinya,” kata beliau.

Mengulas mengenai kekecohan itu, Tajuddin berkata kumpulan itu hanya membantah terhadap Khalid kerana menggunakan perkataan menghina “sial”.

“Saya adalah simbol. Saya mewakili mereka (penduduk Pasir Salak). Jika anda mengatakan ahli Parlimen Pasir Salak adalah sial, Pasir Salak adalah sial, sudah tentu mereka berasa tersinggung,” katanya.

Tajuddin memberi contoh jika orang memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan pelbagai nama, ahli-ahli Umno akan tersinggung.

Insiden di Dewan Rakyat berpunca daripada kenyataan dibuat Tajuddin kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai “satu-satunya wanita dengan Kok”.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Tajuddin memberitahu FMT, bukan Khalid yang membuat kepuusan dan menghukumnya

“Walaupun jika saya salah, ia terpulang kepada speaker untuk membuat keputusan. Beliau (Khalid) cuba memaksa speaker, dan semua orang untuk bersetuju dengan beliau.”

Tajuddin turut mengkritik Khalid, dengan mendakwa PAS juga tidak mahukannya, dan berkata jika ada pilihan raya untuk pemegang jawatan Amanah, Khalid tidak akan menang.

“Beliau bercakap tentang banyak perkara, sebab itu PAS juga tidak menerimanya,” dakwa Tajuddin.

PAUTAN:

Khalid Samad diserang di perkarangan Parlimen

Penyerang mengaku anak Tajuddin, kata Khalid Samad