
“Malaysia akan menunggu kejelasan lebih lanjut daripada pentadbiran AS apabila presiden baharu mengambil alih jawatan pada 20 Januari 2017,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, keputusan itu diambil meskipun hakikatnya dalam kenyataan terbaharu pada 21 November lalu, Presiden AS yang baru dilantik Donald Trump menyatakan antara tugas pertamanya sebagai presiden adalah menarik keluar AS daripada TPPA.
“Sebaik sahaja kita mendapat kejelasan daripada pentadbiran baharu AS selepas 20 Januari 2017, ketua-ketua perunding mungkin bertemu untuk menimbangkan pilihan dan jalan penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia akan meneruskan usaha meminda undang-undang relevan kerana perubahan terhadap sesetengah undang-undang ini bukan hanya bagi mematuhi TPPA, tetapi adalah hasil kajian semula domestik berterusan bertujuan mengukuh dan mengemas kini beberapa undang-undang bagi memudahkan perdagangan dan memenuhi obligasi antarabangsa.
“Keputusan akhir mengenai cadangan pindaan itu bagaimanapun akan dibuat Kabinet,” kata Mustapa sebagai memberi reaksinya kepada pengumuman Trump mengenai hasrat AS menarik diri daripada TPPA.
Beliau berkata, semua 12 pemimpin negara TPPA bertemu di Lima, Peru, pada 19 November 2016 untuk melihat perkembangan terkini proses domestik mereka ke arah ratifikasi.
“Semua anggota TPPA, kecuali AS, sedang berada di pelbagai tahap mendapatkan kelulusan perundangan domestik mereka. New Zealand sudah menyelesaikan proses Parlimennya, Dewan Rakyat Jepun sudah meluluskan TPPA yang kini akan mendapatkan kelulusan Dewan Negara Parlimen Jepun,” katanya.
Beliau berkata, semua pemimpin mengulangi komitmen terhadap TPPA memandangkan manfaat yang boleh dibawa kepada ekonomi masing-masing serta ke rantau Asia Pasifik, bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta pada masa sama meneruskan standard alam sekitar dan tenaga kerja baik.
“Mereka juga yakin dengan peranan TPPA dalam mengukuhkan lagi usaha membawa perusahaan kecil dan sederhana ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, TPPA juga akan mewujudkan persekitaran yang diperlukan bagi pertumbuhan masa depan e-dagang di Jepun. Di Peru, pemimpin TPP juga mengakui perjanjian itu merupakan perjanjian seimbang dan berkualiti tinggi yang tidak boleh dihentikan.
“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, TPP di bawah keadaan sekarang tidak boleh dilaksanakan tanpa penyertaan AS, kerana AS menyumbang kira-kira 60% daripada gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 12 anggotanya.
“Di bawah perjanjian itu, minimum 6 negara yang menyumbang 85% daripada gabungan KDNK 12 negara anggota perlu meratifikasikannya sebelum TPPA boleh dikuatkuasakan,” kata Mustapa.
Beliau juga menegaskan perdagangan bebas dan adil memberi manfaat kepada Malaysia.
“Meskipun globalisasi dan liberalisasi mungkin tidak sempurna, perjanjian perdagangan bebas dilengkapkan dengan dasar-dasar domestik yang sesuai dan langkah-langkah sokongan boleh menyebarkan manfaat pembangunan yang memberi faedah kepada golongan miskin dan terpinggir dalam masyarakat,” katanya.
Katanya, sebagai sebuah negara dagangan, Malaysia akan meneruskan perjanjian dagangan keutamaan yang adil dan memberi manfaat kepada negara dari segi perdagangan, pelaburan, pendapatan dan pekerjaan.
PAUTAN: