Mahkamah benarkan rayuan Adun PKR cabar Akta Hasutan

suhaimi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan dalam keputusan penting hari ini memutuskan Seksyen 3(3) Akta Hasutan yang menyatakan elemen niat tidak perlu dibuktikan, adalah tidak mengikut perlembagaan.

Dalam membenarkan rayuan saman Adun Sri Muda daripada PKR Mat Shuhaimi Shafiei untuk mengisytiharkan perundangan kolonial itu tidak sah, panel hakim diketuai Datuk Lim Yee Lan dalam keputusan sebulan suara memutuskan Seksyen 3(3) melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Perintah Mahkamah Tinggi (yang menolak saman asal) diketepikan,” katanya.

Hakim lain dalam panel itu ialah Datuk Varghese George dan Harminder Singh Dhaliwal.

Ketika menyampaikan penghakiman mahkamah, Varghese berkata di bawah Artikel 8, semua individu mesti sama rata di sisi undang-undang.

“Kami mengingatkan diri sendiri mengenai hal ini.

“Jelas, Seksyen 3(3) mencipta ‘rejim’ lain, yang menjadikan kecenderungan unsur hasutan.

“Ia menyimpang daripada kebiasaan, undang-undang lain,” katanya, menambah dalam undang-undang lain, memerlukan pendakwa membuktikan unsur niat.

Beliau berkata dalam keadaan normal beban membuktikan terletak kepada pihak pendakwaan.

“Tetapi di bawah Seksyen 3(3), beban membuktikan bukan kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Varghese berkata seksyen itu “tidak mapan” dan melanggar peruntukan di bawah Artikel 8.

Tahun lalu Adun Sri Muda itu gagal ketika mencabar keperlembagaan akta itu di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah dalam keputusannya berkata cabaran itu tidak berada di bawah lingkungan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman dengan merujuk kepada soalan perlembagaan oleh Mahkamah Tinggi ke mahkamah apex.

Beliau memfailkan pengisytiharan untuk membatalkan Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan.

Beliau pada masa ini berdepan dengan perbicaraan dalam tuduhan menghasut pada 2011 susulan artikel dimuat naik di blognya (srimuda.blogspot.com), berhubung pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor pada masa itu, Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Terdahulu, beliau gagal dalam permohonan membatalkan pendakwaannya di Mahkamah Tinggi.

Shuhaimi berkata keputusan itu sangat penting untuk seluruh rakyat negara ini dan ia juga tanda arah baru dalam kes yang melibatkan Akta Hasutan.

“Saya gembira kerana apa yang saya bawa ini membuka mata semua rakyat Malaysia.

“Saya harap untuk akan datang, perkara melibatkan soal hak dan kebebasan perlulah dikaji balik supaya sesuai dengan zaman sekarang yang mana dunia bergerak tanpa sempadan,” katanya.

Sementara itu, peguam N Surendran yang mewakili Shuhaimi berkata ini bermakna bermula dari sekarang semua kes hasutan yang masih tertangguh atau sebarang pendakwaan selepas ini, pihak pendakwaan perlu membuktikan unsur niat.